PETALING JAYA: Skim kawalan harga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan seolah-olah tidak lagi berkesan apabila ada beberapa harga barang yang tetap meningkat dengan luar biasa setiap kali tiba bulan Ramadan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berpendapat, ia boleh dibuktikan menerusi tindakan segelintir peniaga dan pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga jualan sebelum skim kawalan harga dilaksanakan.
Disebabkan itu, katanya, harga barang terus naik setiap kali bulan Ramadan meskipun skim kawalan harga dilaksanakan.
“Memandangkan semua orang tahu skim kawalan harga menetapkan harga siling sebelum hari raya, harga barang dimanipulasi setiap kali bulan Ramadan dan isu ini seperti tidak ada kesudahan.
“Mereka akan cuba mengaut keuntungan sebelum skim kawalan harga dilaksanakan, ini akan memaksa pengguna berbelanja lebih banyak daripada biasa,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpandangan, meskipun skim kawalan harga dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, harga barang tetap mengalami kenaikan.
“Ini budaya dan helah untuk buat duit lebih. Ia sudah dirancang setiap tahun dan bukannya berlaku dengan tiba-tiba. Ini soal etika, tetapi etika perniagaan ini tidak dikawal.
“Kalau ada lebih 2,000 penguat kuasa pun tetap tak boleh jaga harga barang yang naik di seluruh negara. Sudah masanya ada kesungguhan untuk melakukan perubahan dan pada masa sama mendidik pengguna tentang harga barang. Kalau tidak, 10 tahun lagi pun harga barang tetap akan naik,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa harga barangan dijangka meningkat luar biasa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pertengahan bulan depan ekoran manipulasi harga pihak pembekal, mainan orang tengah dan kenaikan kos makanan ternakan.
Para peniaga di seluruh negara yang ditemui meramalkan, jika trend peningkatan harga sekarang berterusan, tidak mustahil menjelang hari raya orang ramai terpaksa berbelanja lebih daripada biasa untuk barangan keperluan.
Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan pembabitan kartel menyebabkan berlaku kenaikan harga ayam ketika ini. – UTUSAN ONLINE











