Mampukah Israel serang Iran? - Utusan Malaysia

Mampukah Israel serang Iran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel berjanji untuk membalas serangan peluru berpandu besar-besaran Iran minggu lalu dan dunia kini semakin gusar kerana tindakan itu berisiko mencetus ketidaktentuan bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga di peringkat global.

Pilihan Israel terdiri daripada serangan simbolik ke atas sasaran ketenteraan, serangan melumpuhkan terhadap industri minyak penting Iran atau tapak program nuklearnya.

Tahap dan masa bagi sebarang serangan balas dijangka menjadi agenda utama mesyuarat yang dirancang minggu ini di Pentagon antara menteri pertahanan Israel dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS).

Tetapi lewat Selasa lalu, Pentagon memaklumkan mesyuarat itu ditangguhkan secara tiba-tiba yang mencetus persoalan sama ada wujud perselisihan antara dua sekutu itu tentang pendekatan yang mahu digunakan Israel.

Presiden AS, Joe Biden sebelum ini menggesa Israel supaya tidak menyasarkan program nuklear Iran dan tidak menggalakkannya untuk membedil industri minyak Teheran.

“Persoalannya bukan sama ada Israel akan membalas atau bertindak balas. Persoalannya ialah ke arah mana,” kata bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

KESAN PADA DUNIA

Israel mempunyai pelbagai pilihan sasaran antaranya bangunan kerajaan Iran, pangkalan tentera, industri minyak yang sensitif serta kemudahan nuklear yang diperkuat dengan pembangunan tersembunyi jauh di bawah tanah. 

Menyerang di mana-mana sahaja di Iran adalah satu cabaran logistik bagi Israel. 

Pesawat perang perlu terbang lebih 1,500 kilometer ke sasaran mereka, memerlukan operasi mengisi minyak di udara yang rumit dan berkemungkinan memasuki kawasan negara jiran.

Sebarang serangan juga bermakna rejim itu perlu bersedia berhadapan dengan sistem pertahanan udara buatan Russia.

“Ingat Iran adalah sekitar 1,600 kilometer jauhnya dari Israel, dan ada negara di antaranya iaitu Jordan, Iraq, Arab Saudi. 

“Ada yang bersahabat dan menjalin diplomasi yang baik. Ada yang menjadi musuh.

“Kamu tidak mahu memalukan rakan-rakan kamu. Anda tidak mahu mendapat tembakan bermusuhan dari negara lain,” kata Penyelidik Kanan di Institut Kajian Keselamatan Negara di Tel Aviv dan bekas Penasihat Hal Ehwal Iran di Majlis Keselamatan Negara Israel, Yoel Guzansky.

Israel juga perlu membuat pertimbangan diplomatik kerana serangan terhadap sektor minyak yang menjadi tulang belakang ekonomi Iran atau program nuklearnya hampir pasti akan meningkatkan risiko selanjutnya.

Serangan sedemikian boleh menggegarkan pasaran minyak global dan menggugat ekonomi AS menjelang Pilihan Raya Presiden bulan hadapan. 

“Risiko tindakan balas Iran bukan sahaja terhadap Israel, tetapi terhadap tentera AS yang ditempatkan di rantau itu atau negara-negara Teluk Arab yang bersekutu dengan Barat.

“Tidak seperti Lubnan dan Gaza, setiap serangan Israel ke atas Iran mempunyai kesan antarabangsa dan global,” kata Pakar Iran di Universiti Hebrew Baitulmuqaddis, Menahem Merhavy.

Olmert berkata, serangan ke atas pelbagai sasaran ketenteraan yang merebak ke seluruh wilayah Iran yang luas, sudah lebih daripada cukup untuk menghantar mesej jelas. 

“Matlamatnya adalah untuk menunjukkan Israel boleh menyerang di mana-mana dan pada bila-bila masa. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencegahan,” katanya.

Olmert berkata, membedil sektor minyak Iran hanya akan mencetus huru-hara yang tidak perlu dan tindakan menyerang program nuklear tidak berbaloi dengan risikonya.

Bukan sahaja ia akan mencetuskan tindakan balas Iran, tetapi kemungkinan kejayaannya juga tidak pasti. Cuba untuk menyerang program nuklear adalah satu kesilapan.

“Apa yang kita mahu capai? Sejauh mana kita mahu pergi dan sejauh mana kita mahu menjadi sombong? Nasihat saya cubalah menjadi lebih tenang dan pintar,” katanya.-AP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×