Jika PKP dilaksana akibat peningkatan kes Covid-19
PETALING JAYA: Pemulihan ekonomi negara mungkin merosot jika kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sektor ekonomi tertentu ditutup.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, justeru kerajaan perlu memastikan pelaksanaan program vaksin mengikut jadual dan kadar jangkitan harus diturunkan.
“Jika gagal, maka pertumbuhan ekonomi akan terencat dan memberi tekanan lagi kepada kerajaan untuk mencari dana untuk membantu rakyat dan ekonomi.
“Kemungkinan masalah sosial akan menjadi lebih serius dan ketidakstabilan politik juga bakal terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Setakat semalam, Malaysia terus merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 iaitu 2,551 kes mengatasi kes sembuh sebanyak 1,524 kes.
Sebanyak dua kematian direkodkan, manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 18,600 kes berbanding kelmarin 17,575 kes.
Menurut Ahmed Razman, pemulihan ekonomi pada dua bulan pertama tahun ini menunjukkan pemulihan tetapi mungkin akan kembali merosot jika jangkitan kembali meningkat.
Mengenai sejauh mana negara mampu mencapai sasaran atau unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, beliau berkata, kemungkinan sasaran KDNK akan lebih realistik sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus, mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 di Malaysia dan global yang kembali meningkat.
“Oleh itu, pergerakan di peringkat global akan kekal terbatas, manakala sektor ekonomi domestik akan kembali terjejas jika PKP lebih ketat dilaksanakan kembali dan program imunisasi kebangsaan mengambil masa lebih lama daripada yang dirancang untuk mendapatkan imuniti kawanan,” katanya.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan yakin mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara enam hingga 7.5 peratus yang disasarkan tahun ini sekiranya situasi semasa ekonomi ketika tempoh Covid-19 terus menunjukkan pemulihan.
Menurut Mustapa, keyakinan itu disokong beberapa petanda baik yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara.
Antara petanda baik itu katanya, termasuklah eksport Februari yang meningkat, kadar pengangguran Februari yang menurun, perkembangan indeks perindustrian serta kenaikan harga komoditi iaitu kelapa sawit dan minyak dunia.
“Saya lebih kepada 5.5 hingga maksimum 6.5 peratus,” kata Ahmed Razman.
Mengenai jangkaan KDNK suku pertama tahun ini, beliau berkata, ia kemungkinan masih negatif, sekitar -0.5 hingga -1 peratus.
Kerajaan bagaimanapun katanya, masih mempunyai ruang untuk membuat pinjaman dan melaksanakan perbelanjaan di bawah Belanjawan 2021.
Kerajaan memperuntukan sejumlah RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021 dengan RM236.5 bilion perbelanjaan mengurus, RM17 bilion tabung Covid-19 dan RM69 bilion untuk pembangunan. – UTUSAN










