Empat Hospital di Lubnan henti operasi akibat serangan Israel

Empat Hospital di Lubnan henti operasi akibat serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Sebanyak empat hospital di Lubnan terpaksa menghentikan operasi susulan serangan udara Israel yang berterusan.  

Serangan turut menyebabkan 11 anggota penyelamat terkorban dalam serangan di selatan Lubnan.

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, menyeru masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel bagi membenarkan pasukan penyelamat dan bantuan memasuki kawasan yang dibom serta memindahkan mangsa yang tercedera. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Hospital Sainte Therese yang terletak di pinggir selatan Beirut melaporkan kerosakan besar akibat serangan pesawat pejuang Israel berhampiran hospital itu, yang memaksa mereka menghentikan semua perkhidmatan, menurut kenyataan agensi berita rasmi, National News Agency (NNA).

Hospital Mais al-Jabal di selatan Lubnan, yang terletak berhampiran sempadan Israel, turut menghentikan semua operasi disebabkan serangan berulang oleh Israel sejak Oktober lepas, serta masalah bekalan dan akses kakitangan.

Pengarah Hospital Kerajaan Marjayoun di selatan Lubnan, Mouenes Kalakesh berkata, serangan udara Israel menyasarkan ambulans di pintu masuk utama hospital, mengorbankan paramedik yang sedang membawa pesakit ke hospital tersebut. 

Kekurangan kakitangan dan pengeboman berterusan memaksa hospital itu ditutup, kurang 10 kilometer dari sempadan.

Menurut perkhidmatan kecemasan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kesihatan Islam yang berkait rapat dengan Hezbollah, tujuh anggota penyelamat terbunuh akibat serangan oleh tentera Zionis di Hospital Marjayoun, manakala empat lagi terkorban dalam dua serangan lain di selatan Lubnan.

Pada Jumaat, NNA melaporkan perkarangan Hospital Salah Ghandour di Bint Jbeil juga menjadi sasaran bedilan artileri Israel. 

Tujuh kakitangan perubatan cedera dalam serangan itu, yang memaksa pesakit hospital tersebut dipindahkan.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam pertempuran rentas sempadan hampir setiap hari selama hampir setahun, dengan Hezbollah bertindak sebagai sokongan kepada sekutu mereka di Palestin, Hamas, berikutan perang di Gaza. 

Sejak 23 September lalu, serangan udara Israel yang semakin hebat telah mengorbankan lebih 1,110 orang dan menyebabkan hampir sejuta orang kehilangan tempat tinggal. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini