BANGKOK: Majalah pelancongan terkenal, Conde Nast Traveller menobatkan Singapura sebagai bandar raya paling mesra di dunia, tahun ini.
Singapura mengungguli carta dengan markah 94.84 yang terkenal sebagai hab kewangan, sistem jalan yang tersusun dan piawaian keselamatan yang tinggi.
Singapura bukan sahaja terkenal dengan bangunan pencakar langit dan teknologi canggih, tetapi juga taman yang indah dan jalan-jalan yang dibarisi pokok menghijau sehingga dilabelkan sebagai ‘bandar dalam taman’.
Pengumuman itu dibuat sempena Anugerah Pilihan Pembaca tahunan yang menampilkan 10 bandar paling mesra yang diundi oleh pengembara di seluruh dunia.
Sydney, Australia yang terkenal dengan gaya hidup santai dan komuniti yang mesra menduduki tempat kedua.
Las Vegas, Nevada, di tempat ketiga, manakala, Bangkok menduduki tempat keempat dengan skor 92.
Bangkok adalah bandar hidup yang dipenuhi kesibukan orang ramai, makanan jalanan yang lazat, deruman bunyi motosikal yang berterusan, serta jalan raya yang meriah sekaligus menjelmakan semangat budaya Thailand yang sebenar.
Cape Town, Afrika Selatan di tempat kelima dan tempat keenam dihuni oleh Tokyo, Jepun. -AGENSI











