BEIRUT: Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang mengenai serangan terhadap fasiliti minyak Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu terhadap Israel, baru-baru ini.
Perkara itu disampaikan oleh Presiden AS, Joe Biden ketika tentera Israel meneruskan kempen terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan.
Ketika Israel mempertimbangkan pilihan selepas musuh ketatnya, Iran, melancarkan serangan terbesar pada Selasa lalu, Biden ditanya sama ada beliau akan menyokong serangan Israel terhadap fasiliti minyak Iran.
“Kami sedang berbincang mengenainya,” jawab Biden kepada wartawan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar akan melancarkan serangan balas terhadap Iran, manakala Washington berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan sekutunya untuk memastikan Iran menghadapi ‘akibat yang serius.’
Sementara itu, tentera Israel mengarahkan penduduk di lebih 20 bandar di selatan Lubnan untuk segera berpindah ketika pihaknya meneruskan pencerobohan rentas sempadan dan serangan terhadap sasaran Hezbollah di Beirut.
Sehingga kini, sebanyak 70 bandar di selatan Lubnan telah menerima amaran pemindahan, termasuk ibu negeri wilayah Nabatieh.
Hezbollah juga melancarkan serangan baharu, menyasarkan pangkalan ‘Sakhnin’ di Haifa, Israel, dengan beberapa roket sehingga menyebabkan siren amaran dibunyikan di Haifa dan Galilee, utara Israel, selepas 10 projektil dikesan melintasi sempadan.
Israel yang berperang dengan Hamas di Gaza selama hampir setahun, menghantar pasukan ke selatan Lubnan Selasa lalu, selepas dua minggu serangan udara yang intensif.
Lebih 1.2 juta penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel, dan hampir 2,000 orang terbunuh sejak Israel mula menyerang setahun lalu.
Khamis lalu, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan 27 kematian dan 151 kecederaan dalam tempoh 24 jam.-AGENSI











