MEMASAK tanpa henti lebih 15 hidangan dalam masa enam jam disusuli dengan dua jam lagi bagi proses penyajian.
Bagi yang tiada pengalaman, tempoh berkenaan mungkin dirasakan terlalu lama dan memenatkan.
Apatah lagi perlu menyiapkan hidangan untuk 120 ‘pelanggan’ antarabangsa tidak termasuk juri.
Namun, cabaran besar itu disahut penuh bersemangat oleh tujuh cef negara yang beraksi dalam pertandingan Olimpik Kulinari 2024 di Stuttgart, Jerman pada 2 hingga 7 Februari lalu.
Mereka ialah Muhammad Firdaus Atan Din, Muhammad Haikal Abdul Ghani, Abu Hamidy Abu Samah, Arvindsingam Jeyaratnam, Cheang Sweet Ie, Chong Wei Tzeh dan Nur Mohammad Zahar.
Kehebatan pasukan negara ini terserlah apabila berjaya meraih dua pingat perak dalam kategori Chef’s Table dan Restaurant of Nation.
Sekali gus membolehkan mereka tersenarai di kedudukan ke-12 terbaik dalam kalangan 32 negara bertanding.
Penasihat pasukan, Mohd. Kamarudin Adnin berkata, keseluruhan proses memasak berjalan lancar berdasarkan perancangan teliti, pengurusan masa yang baik dan pelaksanaan teknik tepat.
Ujarnya, aspek berkenaan amat diberi perhatian bagi memantapkan lagi kemahiran dan kecekapan setiap cef.
Malah, persiapan rapi dan latihan ketat turut dijalankan selama dua tahun bagi menghadapi pertandingan tersebut.
“Dalam tempoh itu, pelbagai proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dibuat dengan lebih 50 cef berpengalaman dipanggil untuk menikmati setiap menu bagi membolehkan pasukan mendapatkan ‘rasa’ terbaik.
“Matlamat utama memang mahu bawa pulang dua emas tetapi rezeki tidak berpihak kepada kami.
“Bagaimanapun, pasukan negara mempamerkan prestasi dan skor membanggakan berbanding di kedudukan ke-22 dalam edisi sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Meraikan Kemenangan Pasukan Olimpik Kulinari baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Olimpik Kulinari yang bermula sejak 1900 merupakan antara dua pertandingan kulinari tertinggi dunia selain Piala Dunia.
Penganjurannya pula sama seperti Sukan Olimpik iaitu selang empat tahun dan berdasarkan rekod, pasukan negara pernah memenangi beberapa emas sebelum ini.
Tambah Mohd. Kamarudin, setiap pasukan perlu menghantar senarai menu lengkap berserta gambar hidangan, lapan bulan sebelum acara berlangsung.
“Oleh itu, kami tidak berdepan masalah dalam proses memasak kerana sudah tahu menu-menu yang mahu dihasilkan.
“Cuma yang menjadi kekangan adalah daripada segi perkakas dan bahan mentah terhad kerana tidak semua boleh dibawa dari Malaysia disebabkan kos serta larangan tertentu,” katanya.
Berikutan itu, barangan dibawa hanyalah set periuk di samping udang kara dan daun limau, manakala selebihnya dibeli di Jerman.
Selain tujuh cef berkenaan, pasukan negara turut dibantu pihak pengurusan dan kru seramai kira-kira 14 orang.
KOMBINASI ASIA, EROPAH
Kebanyakan hidangan yang disajikan tidak 100 peratus bercitarasa tempatan kerana kurang sesuai dengan tekak orang Eropah
Menurut Mohd. Kamarudin, pendekatan diambil adalah dengan menggabungkan air tangan Asia dan barat.
Bagi kategori Restaurant of Nation, menu-menunya ialah kelulut honey duck breast, savarin duck fricassee, warm salmon and prawn terrine, asian-style lobster croquette, mango and pomelo salad with chrysanthemum cream
dan calamansi yogurt sorbet
Manakala Chef’s Table pula terdiri daripada yellow king crab curry in yam dumpling, citrus cured salmon with asian herb infused cream and dill sheet, crispy shell, veal fricandeau loaf with sage sweetbreads, lobster and prawn
terrine with sundried tomato and herbs encapsulated in prawn blanket, pineapple sonfit and soursop sorbet dan lemon mango tart.

“Walaupun mahu membawa masakan Melayu ke persada dunia tetapi kami tidak boleh berbuat demikian kerana orang Eropah tidak faham dengan air tangan kita.
“Jika terlalu banyak herba seperti daun limau, bunga kantan, belacan atau asam keping, mereka akan berikan komen yang makanan kita sangat pedas, masam dan berbau.
“Untuk mengelakkan perkara-perkara itu, kami cuba seimbangkan dengan menu barat tetapi dengan campuran elemen herba dan rempah yang sederhana,” katanya.
Mohd. Kamarudin yang juga Presiden Pertubuhan Culinaire Malaysia berkata, pengalaman dalam edisi-edisi terdahulu dijadikan panduan dan rujukan dalam penyediaan menu kali ini.
Beliau turut menyifatkan resipi dibawa itu, sebagai yang terbaik pernah dihasilkan pasukan negara dalam tempoh lapan tahun lalu.
Kuda laut retak
Antara kelemahan dikenal pasti menjadi punca pasukan negara terlepas emas adalah disebabkan sajian pemanis mulut.
Katanya, menu sugar display yang berbentuk kuda laut itu didapati sedikit retak.
“Kuda laut itu berjaya dihasilkan dengan sempurna tetapi ketika proses penilaian, juri mendapati ada sedikit keretakan padanya.
“Barangkali suhu di sana yang sejuk menyebabkan perkara itu terjadi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin menyifatkan Singapura, Hong Kong, Macau dan Australia sebagai pesaing kuat negara bagi rantau Asia.
Manakala dari segi keseluruhan tentulah pasukan Eropah seperti Denmark, Switzerland dan Sweden.
“Dalam edisi sebelum ini, Hong Kong meraih pingat emas tetapi kali ini mereka cuma dapat perak dengan skor yang lebih rendah daripada Malaysia.
“Difahamkan untuk sajian pembuka selera dan utama, kami mencapai skor hampir 92 markah tetapi ia terjejas dengan pemanis mulut yang sekadar mendapat 81 markah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau optimis yang pasukan negara mampu mengubati kekecewaan dan mengungguli dalam edisi 2028.

Bawa pulang pingat emas – Tunku Azizah
Tunku Azizah mendoakan pasukan negara dapat meraih kejuaraan dalam acara berprestij, Kulinari Piala Dunia 2026.
Harapan tinggi itu diletakkan susulan kejayaan menggondol pingat perak dalam Olimpik Kulinari, baru-baru ini.
Titahnya, kejayaan pasukan negara dalam apa jua pertandingan adalah tanggungjawab bersama.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Malaysia yang bertungkus-lumus dalam pertandingan itu.
“Kemenangan anda adalah kemenangan negara dan ia sangat membanggakan,” titahnya.
Dalam pada itu, Tengku Ampuan Pahang kesal yang Olimpik Kulinari kurang mendapat perhatian rakyat negara ini walaupun telah lama wujud.
Baginda menyeru pihak media untuk memainkan peranan dalam memberikan liputan terbaik dan pendedahan berkaitan acara-acara tersebut.
“Ia penting kerana rakyat kita berkebolehan tinggi dan memiliki bakat luar biasa yang dikagumi di pentas antarabangsa,” titahnya.










