MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mendaftarkan seramai 2,879 mualaf sepanjang tahun lalu sehingga Ogos 2024. Daripada jumlah 2,879 mualaf, seramai 1,761 mualaf didaftar pada 2023 dan seramai 1,118 mualaf didaftar dari bulan Januari sehingga Ogos lalu.
Sehingga kini, sebanyak 41 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS berbanding 39 pusat sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.
PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu ataupun pihak lain.
Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga memainkan peranan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka.
Masyarakat amat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mereka ke PPP yang berhampiran beserta dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan.
MAIS telah menganjurkan program Karnival Orang Asli dan Pelancaran Kempen Bulan Mualaf Negeri Selangor Tahun 2024 bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di Selangor agar sama-sama dapat menyantuni mualaf dengan memastikan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan dengan sempurna.
Ini bertujuan bagi berkongsi pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam termasuk pendaftaran pengislaman, pendaftaran pernikahan dan dokumen pengenalan diri di samping memberi kefahaman tentang agama Islam.
Adalah diharap melalui kempen yang dijalankan ini juga secara tidak langsung mualaf mendapat pendedahan agama Islam termasuk maklumat pendaftaran pengislaman secara menyeluruh, tepat dan boleh dijadikan panduan kepada kehidupan mereka.-UTUSAN
DR. AHMAD SHAHIR MAKHTAR
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)










