Guilin, lukisan alam yang mempesona

Guilin, lukisan alam yang mempesona

Bagaikan lukisan klasik yang hidup
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN lukisan klasik yang hidup.

Itu daya penarik, Sungai Li atau dikenali sebagai Lijiang yang mengalir sepanjang 83 kilometer dari Bandar Guilin ke Pekan Yangshou yang terletak di Wilayah Guangxi, China.

Guilin yang dahulunya terkenal sebagai bandar dengan pemandangan tercantik di China itu dikelilingi dengan pergunungan batuan karst dan gua batu kapur dengan panorama yang cukup mempesonakan.Guilin yang dahulunya terkenal sebagai bandar dengan pemandangan tercantik di China itu dikelilingi dengan pergunungan batuan karst dan gua batu kapur dengan panorama yang cukup mempesonakan.

Baru-baru ini saya berkesempatan menelusuri Sungai Li dengan menaiki kapal persiaran yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Jeti Zhujiang (Zhujiang Pier) ke Jeti Shuidongmen berhampiran West Street, Yangshou.

Di sepanjang perjalanan, mata saya tertawan dengan pelbagai formasi geologi yang terbentuk megah di Sungai Li.

Paling menarik adalah formasi yang menyerupai sembilan ekor kuda yang terbentuk hasil daripada hakisan yang berlaku ribuan tahun dahulu.

Setelah 2 jam 30 minit perjalanan, pengumuman mengenai lokasi penting di Sungai Li kedengaran menerusi corong pembesar suara dan semua penumpang bergegas naik ke dek atas untuk merakam gambar kenangan.

Formasi tebing karst yang terdapat pada wang kertas bernilai 20 yuan adalah cara kemuncak bagi setiap pelancong yang menyusuri Sungai Li.

Berhampiran formasi ini, kelihatan ramai pelancong turut menaiki bot diperbuat daripada buluh dari perkampungan komuniti berhampiran.

Mungkin mereka ingin menyaksikan dengan lebih dekat keindahan alam yang turut dicetak pada wang kertas 20 yuan.

Semasa majlis makan malam bersama kumpulan media Sabah, Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa Parti Komunis China (CPC) Guilin, Li Jun memberitahu, Sungai Li menerima kunjungan daripada 140 juta pelancong setiap tahun.

Malah katanya, Sungai Li turut tersenarai sebagai 15 destinasi pelancongan paling ramai dikunjungi dari seluruh dunia. Berdasarkan rekod,
Guilin menerima lebih 50,000 pelancong dari Malaysia pada tahun lalu.

Selain Sungai Li, kami turut melawat Bukit Belalai Gajah, Gua Reed Flute, Jingjiang Prince City, Muzium Guilin serta Pusat Operasi Gabungan Media Guilin.

Lawatan ke pusat operasi media di Guilin memberi ruang kepada saya menyaksikan sendiri bagaimana kepantasan laporan berita dan kecanggihan teknologi yang diguna pakai di sana.

PERTUNJUKAN TEATER

Saya bersama sembilan rakan media lain turut berpeluang menyaksikan pertunjukan teater Impression Liu Sanje yang diadakan di pentas terbuka dengan latar belakang pergunungan batuan karst.

Pertunjukan diadakan pada 8 malam dan 9.30 malam itu diarahkan oleh pengarah filem terkemuka iaitu Zhang Yimou yang turut bertanggungjawab dalam acara pembukaan dan penutupan Olimpik Beijing 2008.

Teater itu adalah berdasarkan kisah rakyat iaitu Liu Sanjie, seorang gadis legenda daripada etnik Zhuang.

Liu Sanjie terkenal dek kemerduan suaranya malah lagu-lagunya menjadi simbol keberanian dan keadilan dalam menentang kezaliman.

Pertunjukan yang dipersembahan kira-kira 600 peserta selama 70 minit itu cukup menghiburkan biarpun tanpa sebarang dialog.

Ia menampilkan tarian dan kostum tradisional dengan lagu-lagu rakyat.

Hujan renyai-renyai tidak sedikit pun membuatkan 3,500 penonton berganjak dari kerusi masing-masing.

Baju hujan turut diagihkan kepada penonton yang hadir pada pertunjukan teater tersebut.

MAKANAN HALAL

Setiap kali berkunjung ke luar negara, antara perkara yang menjadi kebimbangan pelancong Muslim adalah makanan halal.

Setelah dua kali berkunjung ke Guilin, saya boleh katakan mudah untuk mendapatkan makanan halal di bandar yang mempunyai kira-kira 5.5 juta penduduk ini.

Malah, terdapat komuniti Muslim di Guilin yang terdiri daripada etnik Hui. Masjid Guilin yang terletak di pusat bandar Guilin merupakan pusat keagamaan bagi komuniti Hui.

Mi beras antara menu wajib dicuba apabila berkunjung ke Guilin. Mi beras yang dihasilkan di Guilin ini amat terkenal di China.

MI beras antara hidangan wajib cuba di Guilin

 

BANDAR BERKEMBAR

Guilin dan Bandaraya Kota Kinabalu sedang dalam proses memeterai memorandum untuk menjadi bandar berkembar.

Kedua-dua bandar ini merupakan kawasan tumpuan pelancongan.

Li Jun memaklumkan surat hasrat (LoI) untuk menjalin kerjasama bandar berkembar telah dihantar kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah dan sekiranya MoU yang dirancang, dimeterai Kota Kinabalu akan menjadi bandar kembar antarabangsa ke-13 bagi Guilin.

KERETA API LAJU

Saya bersama kumpulan media Sabah tiba di Guilin dengan menaiki kereta api laju dari Guangzhou.

Dengan kelajuan mencecah 300km/j, perjalanan hanya mengambil masa selama dua jam.

Ini adalah pengalaman sulung saya menaiki kereta api laju dan ia satu pengalaman yang cukup berharga.

Setiap kali kereta api melalui stesen di bandarbandar kecil di sepanjang perjalanan, kelajuan kereta api mula berkurang dan ketika inilah saya merakam panorama perkampungan luar bandar yang cukup unik.

Sepanjang perjalanan, saya melihat keunikan rumah di perkampungan luar bandar dengan atap yang rata, bukan segi tiga seperti atap rumah-rumah di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×