BNM keluarkan syiling peringatan sempena pertabalan Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

BNM keluarkan syiling peringatan sempena pertabalan Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024.

Bank pusat berkata, duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam tiga denominasi iaitu duit syiling peringatan emas (pruf), perak sterling (pruf) dan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

Katanya, duit syiling peringatan emas diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah lapan gram dengan nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM3,250 sekeping serta ditempa sejumlah 300 keping.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Duit syiling peringatan perak sterling diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 31 gram dengan nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,300 keping telah ditempa.

“Duit syiling emas Nordic B.U. ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping serta sejumlah 5,000 keping telah ditempa,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, duit syiling peringatan ini juga dijual sebagai set 2 dalam 1 yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling (pruf) dan sekeping duit syiling emas Nordic (pruf).

Jelasnya, harga jualan setiap set ialah RM330 dan sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian.

Mengenai reka bentuknya pula, BNM berkata, bahagian hadapan adalah potret Sultan Ibrahim dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

Jelasnya, nama baginda ‘SULTAN IBRAHIM’ pula tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling.

“Bahagian Belakang pula, Jata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

“Teks “PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII” tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling.

“Nama ‘BANK NEGARA MALAYSIA’ sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pula dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka ‘100 RINGGIT’ bagi emas (pruf), ‘10 RINGGIT’ bagi perak sterling (pruf) dan ‘1 RINGGIT’ bagi emas Nordic B.U,” ujarnya.

Bank pusat berkata, bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, satu keping duit syiling emas (pruf), satu keping duit syiling perak sterling (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

“Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai pukul 11 pagi pada 2 Oktober 2024 hingga pukul 11 malam pada 13 Oktober 2024,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.

“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×