KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan Malaysia sebagai hab penjanaan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri berkata, sasaran lain juga adalah menjadikan negara ini sebagai hab pelaburan dalam kalangan rakan kongsi yang akan membina infrastruktur digital yang teguh dan selamat.
Sehubungan itu, katanya, dalam tempoh 12 bulan akan datang, kerajaan menyiapkan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030 dan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI yang beretika dan mampan.
Katanya, kerajaan juga akan menubuhkan pejabat AI kebangsaan untuk menyelaras inisiatif dalam landskap AI global yang kompetitif.
“Kerajaan juga akan mempercepat penggunaan AI dalam sektor utama di seluruh Malaysia.
“Dengan memanfaatkan perkongsian dengan peneraju industri dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan, saya percaya, Malaysia boleh merealisasi matlamat ini.
“Pada masa sama, matlamat ini akan mewujudkan peranannya sebagai negara dipacu AI terkemuka di ASEAN,” katanya dalam ucapan majlis ‘Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event’ di sini, semalam.
Pada Mei lalu, kerajaan melancarkan AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) dan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) dalam pelancaran Malaysia AI Nexus 2024.
Kesemua usaha itu bagi mengukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penubuhan sehingga 900 syarikat pemula AI serta lebih 13,000 bakat baharu menjelang 2026.
Dalam majlis sama Anwar merasmikan majlis pecah tanah pusat data dan rantau pengkomputeran awan Google bernilai AS$2 bilion (RM8.32 bilion). – UTUSAN










