Ketaatan ahli GISBH hingga sanggup ceraikan isteri

Ketaatan ahli GISBH hingga sanggup ceraikan isteri

MUHAMMAD DHIRAR Raihan ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah restoran di Melaka baru-baru ini. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perlu patuh dan taat setia kepada jemaah dan kepemimpinan memaksa setiap ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengikut semua arahan termasuk menceraikan isteri masing-masing.

Memang tidak masuk akal apabila suami dipaksa menceraikan isteri semata-mata ingin menguji ketaatan kepada jemaah dan kepemimpinan yang diterajui ketika itu oleh isteri pengasas al-Arqam Ashaari Muhammad.

Bekas ahli GISBH, Muhammad Dhirar Raihan, 37, mendakwa, situasi itu menimpa keluarganya apabila bapanya dipaksa menceraikan ibunya pada 2009 dalam majlis perceraian beramai-ramai dianjurkan kepe­mimpinan tertinggi.

Katanya, konflik sama turut menimpa kakak sulungnya dengan alasan wanita itu telah di­singkirkan daripada jemaah pada 2011.

Ujarnya, hubungan ahli keluarganya menjadi porak-peranda selepas bapa melafazkan cerai di sebuah premis gerakan itu di Melaka, walaupun ditentang adik beradik lain.

“Bapa yang juga ahli GISBH akur apabila dipaksa menceraikan emak saya hanya semata-mata hendak menunjukkan ke­taatan dan pembuktian menjadi ahli jemaah. Sejurus diceraikan emak saya dihantar oleh kepe­mimpinan tertinggi ke Sarawak untuk dikuarantin.

“Saya dapat tahu ada ahli yang baru saja melangsungkan pernikahan pun turut dipaksa menceraikan isteri. Lebih memilukan adik lelaki saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa pulang daripada perjumpaan keluarga untuk menyelesaikan konflik keretakan rumah tangga kakak kedua yang juga ahli GISBH, berpunca apabila suaminya telah dibuang daripada jemaah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kata Muhammad Dhirar, bapanya mengalami kemurungan kerana tidak dapat menerima hakikat terpaksa menceraikan isteri dan dilarang berhubung walaupun melalui panggilan telefon.

Dedahnya, keadaan menjadi lebih parah apabila mereka diugut bahawa ibunya akan dikahwinkan dengan ahli lain apabila tempoh idah tamat.

“Saya hilang pertimbangan dan memberi amaran kepada pemimpin di Sarawak, jika emak tidak balik ke Melaka selepas tempoh idah tamat, saya akan pergi ke sana dan bawa emak balik.

“Emak mengambil keputusan sendiri lari meninggalkan tempat kuarantin serta bernikah semula dengan bapa tetapi malangnya mereka masih tetap teguh kepada ajaran dan masih mengikuti jemaah.

“Saya lebih awal meninggalkan jemaah ini kerana rasa banyak perkara tidak masuk akal dan mungkin masa itu saya sudah terbuka fikiran. Saya lihat banyak kepincangan yang berlaku dalam pertubuhan ini,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×