Hutang orang muda RM1.9 bilion

Hutang orang muda RM1.9 bilion

AMIR Hamzah Azizan melancarkan Bulan Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 di Sasana Kijang, semalam. Turut hadir, Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali (kanan). – GAMBAR KWSP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seba­nyak 53,000 individu golongan muda di negara ini iaitu yang berusia ba­wah 30 tahun sudah dibebani hu­­tang berjumlah hampir RM1.9 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.

“Kebolehcapaian yang sema­kin meningkat bagi pinjaman peribadi, kad kredit dan teruta­ma­nya skim ‘Beli Sekarang, Ba­yar Kemudian’ (BNPL) amat mem­bimbangkan, terutamanya dalam kalangan orang dewasa muda.

“Walaupun ia mungkin me­na­warkan kemudahan, keku­ra­ngan pemahaman tentang implikasi­nya dan kekurangan di­siplin dalam mengurus komitmen boleh membawa kepada hutang yang tidak terurus dengan cepat,” katanya dalam ketika berucap melancarkan Bulan Literasi Kewangan Kebangsaan (FLM) 2024 di Sasana Kijang, semalam.

Beliau berkata, Tinjauan Li­te­­­rasi Kewangan Pertubuhan Ker­jasama dan Pembangunan Eko­nomi (OECD) melaporkan ha­nya 36 peratus rakyat Malaysia menunjukkan pemahaman tentang konsep kewangan asas seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.

Katanya, angka itu jatuh di bawah purata global sebanyak 42 peratus dan meletakkan Malaysia di tangga ke-26 daripada 39 negara yang dikaji.

“Tahap celik kewangan yang rendah ini membimbangkan memandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia. Sehingga 2023, hutang isi rumah telah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu daripada nisbah tertinggi di rantau ini.

“Angka yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa isi rumah semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan mereka.

“Jika tidak diurus dengan teliti, tahap hutang sedemikian boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang, mengukuhkan peranan penting yang dimainkan oleh celik kewangan dalam melindungi kesihatan kewangan,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, statistik itu menyerlahkan keperluan mendesak untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi kebanyakan orang, pengetahuan kewangan masih belum diterjemahkan ke dalam kesediaan kewangan yang tulen.

“Ini mendedahkan jurang yang besar antara memahami konsep kewangan dan mencapai kesejahteraan kewangan sebenar terutamanya dalam kalangan komuniti kita yang lebih terdedah,” katanya.

Tambahnya, celik kewangan bukanlah suatu kemewahan, mahupun kemahiran yang dikhaskan untuk mereka yang mempunyai keistimewaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×