NEW DELHI: Kumpulan kakitangan perubatan di negeri Bengal Barat, India menyambung semula mogok susulan kecewa dengan badan kehakiman negara itu kerana gagal memberikan keadilan sewajarnya terhadap kes rogol dan pembunuhan seorang doktor pelatih di Kolkata, Ogos lalu.
Mogok Barisan Doktor Muda Benggala Barat, yang mewakili kira-kira 7,000 pakar perubatan di negeri itu, bermula hari ini.
Kes rogol dan pembunuhan seorang doktor di Kolkata mencetuskan gelombang protes dalam kalangan doktor yang menuntut jaminan keselamatan di tempat kerja dan keadilan untuk rakan mereka.
Protes ini mendorong Mahkamah Agung India untuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu keselamatan di hospital.
Dalam perbicaraan terbaharu semalam, mahkamah menggesa kerajaan negeri untuk melaksanakan semua langkah selewat-lewatnya pada 15 Oktober, bagi memenuhi tuntutan doktor.
Antara tuntutan itu termasuk meningkatkan perlindungan polis di hospital dan siasatan terhadap dakwaan rasuah di beberapa kolej perubatan.
Mahkamah Agung juga meminta kerajaan untuk memastikan identiti mangsa dirahsiakan dan tidak dikongsi dalam talian seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Namun, kumpulan doktor menyatakan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah itu dan memutuskan untuk mengembalikan mogok penuh.
“Melainkan kami menerima tindakan jelas daripada kerajaan mengenai isu keselamatan, perkhidmatan pesakit dan kebimbangan politik.
“Kami tiada pilihan lain selain meneruskan mogok penuh,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Bulan lepas, mogok doktor digantung sementara dan mereka menyambung semula perkhidmatan, sebagai mengambil kira keadaan banjir di beberapa bahagian negeri.- REUTERS










