PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh lari dari unsur kronisme terutama dalam pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya (AMPT).
Bekas AMPT Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, kumpulan yang menjadi ‘mangsa’ adalah ahli-ahli baharu dalam politik terutama bagi yang muda dan berpendidikan tinggi.
Katanya, perkara itu dilakukan untuk memastikan kemenangan ‘selamat’ bagi golongan ahli yang lebih senior.
“Antara sebab saya keluar dari Bersatu apabila ada puak yang dibiarkan mencatur pemilihan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tempoh hari.
“Yang jadi mangsa ialah watak-watak baharu dalam politik terutama orang muda dan berpendidikan tinggi. Biasanya dipinggirkan, disabotaj atau dicatur untuk kalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, mereka yang berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan Bersatu perlu memahami parti itu mempunyai struktur selain harus memiliki pengalaman ‘cukup masak’ bersama pucuk pimpinan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, parti itu juga memiliki perlembagaan yang menetapkan beberapa klausa untuk kelayakan seseorang boleh atau tidak bertanding dalam beberapa peringkat jawatan.
Kata Muhammad Faiz, situasi itu menjadikan tiada pembaharuan dibawa oleh Bersatu walaupun dengan memperketat kelayakan untuk menjadi AMPT.
Katanya, ia dapat dilihat apabila ‘kuasa besar’ masih diletakkan pada Presiden parti untuk memilih.
“Hakikatnya individu-individu yang menganggotainya masuk dipilih oleh restu Presiden parti walaupun dikatakan melalui Majlis Presiden.
“Maka tiada pembaharuan politik pun dibawa oleh Bersatu kerana sama sahaja muka-muka ‘geng’ lama,” katanya. – UTUSAN











