PETALING JAYA: Kerajaan digesa meruntuhkan empayar rokok haram yang menjadi satu daripada penyumbang utama kepada peningkatan jumlah perokok di Malaysia terutama dalam kalangan belia dan kanak-kanak.
Ini kerana pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula hari ini dibimbangi akan meningkatkan cengkaman sindiket rokok haram terhadap perokok di Malaysia, di mana lebih banyak beralih kepada rokok seludup.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), kadar rokok seludup di Malaysia kini berada pada tahap 54.8 peratus pada Mei 2024.
Sementara itu, rokok dengan setem cukai palsu adalah 15.6 peratus, rokok kretek (7.3 peratus) dan rokok putih seludup (31.9 peratus).
Pakar Kesihatan Komuniti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan perlu memusnahkan sindiket tersebut untuk memastikan Akta 852 dapat dilaksanakan secara berkesan.
Kata beliau, peningkatan penggunaan rokok seludup bukan sahaja merugikan negara melalui ketirisan cukai, malah produk tersebut dibimbangi lebih berbahaya kerana kandungan yang tidak diselenggara mengikut garis piawaian ditetapkan.
Jelasnya, rokok seludup juga jauh lebih murah iaitu sekitar RM5 untuk sekotak sementara rokok bercukai boleh melebihi RM20 untuk sekotak.
“Dibimbangi apabila remaja beralih kepada rokok seludup yang lebih mudah untuk dibeli. Jadi kalau rangkaian itu tidak dikawal maka dibimbangi kadar rokok selduup akan meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa Akta 852 akan dikuatkuasakan mulai Selasa merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Akta 852 dijangka mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga kelestarian alam sekitar.
Ditanya mengenai Generasi Penamat Rokok (GEG), Dr. Sharifa berkata, sekiranya polisi tersebut ingin dipraktikkan lebih baik untuk terus mengharamkan tembakau dan nikotin, tidak perlu kawalan secara berperingkat.
“New Zealand yang memulakan GEG juga sudah menarik kembali polisi mereka. Cuma perlu diingatkan kalau kita melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap tembakau dan nikotin, kita perlu bersedia dengan kesan polisi tersebut iaitu lambakan produk haram yang sudah pun melanda negara kita.
“Namun, situasi boleh jadi berbeza sekiranya penguatkuasaan kita kuat. Cuba lihat di India, Bhutan dan Australia, pasaran rokok haram di negara berkenaan meningkat mendadak akibat daripada larangan penggunaan nikotin.
Dalam pada itu, Dr. Sharifa berkata, Akta 852 sangat membantu dalam meningkatkan kesihatan masyarakat dan tindakan untuk mengurangkan salah guna tembakau atau nikotin oleh golongan tertentu.
“Bagaimanapun perlu di ingat, penjualan dan distribusi tembakau dan nikotin besar-besaran di negara adalah impak daripada jualan rokok tidak bercukai oleh pasaran gelap.
“Oleh itu, selain akta, kerjasama pihak polis, penguatkuasaan di sempadan dan kawalan penyeludupan oleh pihak kastam perlu diperkasa dengan pendanaan yang lebih besar serta setanding negara maju,” katanya. – UTUSAN










