Britain jadi negara G7 pertama henti guna arang batu

Britain jadi negara G7 pertama henti guna arang batu

PEMANDANGAN udara stesen janakuasa arang batu Ratcliffe-on-Soar, berhampiran Nottingham di tengah England.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain menjadi negara Kumpulan Tujuh (G7) pertama yang menamatkan pengeluaran tenaga berasaskan arang batu dengan penutupan loji terakhirnya, Ratcliffe-on-Soar milik Uniper di Midlands, England.

Penutupan itu akan menamatkan kebergantungan lebih 140 tahun Britain terhadap penggunaan tenaga arang batu di negara itu.

Pada 2015, Britain mengumumkan rancangan untuk menutup loji arang batu dalam tempoh satu dekad sebagai sebahagian daripada langkah lebih luas untuk mencapai sasaran iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika itu, hampir 30 peratus daripada elektrik negara dihasilkan daripada arang batu, tetapi ia menurun kepada hanya satu peratus tahun lepas.

Penurunan penggunaan tenaga arang batu membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di Britain, yang berkurang lebih separuh sejak tahun 1990.

Dengan sasaran untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, Britain juga merancang untuk menyahkarbonkan sektor elektrik menjelang 2030.

Ia adalah satu langkah yang memerlukan peningkatan pesat dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar.

“Meskipun era arang batu mungkin akan berakhir, tetapi era baharu pekerjaan tenaga yang baik untuk negara kita baru sahaja bermula,” kata Menteri Tenaga, Michael Shanks dalam satu kenyataan.

Pelepasan daripada sektor tenaga menyumbang kira-kira tiga perempat daripada jumlah keseluruhan pelepasan gas rumah hijau dan saintis menekankan penggunaan bahan api fosil perlu dikurangkan bagi memenuhi matlamat yang ditetapkan di bawah Perjanjian Iklim Paris.

April lalu, negara-negara industri utama G7 bersetuju untuk menghentikan penggunaan tenaga arang batu dalam separuh pertama dekad berikutnya, tetapi memberi sedikit kelonggaran kepada ekonomi yang bergantung kepada sumber tersebut.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN