Tanggal 21 September, jam 8.30 malam, saya diundang menyaksikan Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang bertempat di Megastar Arena. Seperti sebelumnya jika terdapat undangan sebegini pastinya saya tidak menolak, maklumlah membesar di zaman kegemilangan muzik rock, sekali gus karya mereka sudah sebati dalam jiwa.
Antara elemen yang buatkan saya teruja pada konsert kali ini adalah gabungan orkestra yang mengiringi persembahan yang berdurasi lebih dua jam itu. Walaupun situasi ini bukanlah perkara baharu, namun ia merupakan eksperimentasi ulung buat kumpulan legenda yang masih kekal aktif sejak lebih tiga dekad lalu. Pasti ada kelainan yang ingin mereka tonjolkan.

Melayan persembahan malam itu, saya menzahirkan rasa kagum tatkala melihat aksi sosok berusia 66 tahun ini. Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman masih beraksi ligat dan lincah di pentas seperti dahulu. Gelagat dan jenakanya masih sama namun ada sisi matang dalam setiap petah pertuturannya.
Memilih lagu Gelora sebagai pembuka pentas, sekali gus membawa penonton mengimbau nostalgia lalu terutamanya ketika kebangkitan muzik rock di era 80-an dahulu sebelum meneruskan bahang malam dengan seleksi lagu-lagu hits lainnya seperti, Langit Dan Bumi, Nigina, Kau Pergi, Rozana, Diari Habil & Qabil dan Fenomena.

Memperlihatkan keserasian bersama barisan anggota, Man Keedal (gitar), Hillary Ang (gitar) dan Nasir (bass), Amy membawa penonton menjengah fasa di mana Search bermula, terutamanya ketika mengalunkan karya-karya terbaik mereka. Bukan sekadar menghayati tetapi lebih kepada menggamit memori lalu.
Barisan 28 pemuzik orkestra yang dipimpin oleh konduktor, Datuk Mokhzani Ismail serta keberadaan pengarah muzik lulusan Berklee, Rie Tsuji di lihat sebagai nilai tambah yang cukup sempurna untuk melengkapkan malam gemilang itu.
Tidak nampak cacat celanya, malah susunan rapi serta kesinambungan bunyi yang dipamerkan ibarat rencah dan perisa yang melengkapkan fasa tertinggi perjalanan konsert pada malam itu.

Menurut saya persembahan Search pada malam itu wajar diberikan kredit dan pujian. Jika ada yang mempertikaikan mutu nyanyian Amy, saya fikir individu tersebut patut melihat dari sisi sebaliknya. Beliau bukan remaja yang kekal bertenaga dan berstamina tinggi ketika kita ‘melayan’ karyanya sewaktu era 80-an dahulu. Tidak adil jika dibuat perbandingan sebegitu!
Nama Amy tetap terpahat sebagai seorang legenda. Dia berjuang lebih tiga dekad dalam industri untuk meletakkan namanya setinggi ini. Dia tetap akan diingati sebagai seorang individu yang memartabatkan muzik rock di negara ini. Fakta ini jelas dan perlu dihadam peminat mahu pun pengkritik.
Memang benar, sebagai pemilik nama ‘Amy Search’ memang dia tidak mampu memuaskan hati semua orang, tetapi sebagai pencinta muzik rock tidak perlu rasanya untuk menghukum berlebihan.
Siapa kita? Adakah terlebih ‘pakar’ berbanding mereka? Jangan sesekali bersikap bias serta diskriminasi. Adilkah jika sekadar memandang hari ini tanpa menoleh hari semalam?
Kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan. Tepuk dada tanya selera. Jika Search yang diterajui Amy dianggap tidak relevan, mana mungkin dia berjaya menarik lebih 3,000 peminat untuk menonton persembahannya.

Saya tertarik dengan kata-kata beliau sebelum menutup tirai persembahan pada malam itu,
“Kami akan teruskan perlayaran ini pada masa akan datang kerana kami memang tidak pernah puas,” ujar Amy.
Nota: Sebelum mengakhiri tulisan ini hanya satu perkara sahaja yang membuatkan saya kecewa pada malam konsert tersebut. Amy tidak menyanyikan waima sebuah lagu pun dari album Karisma. Melalui penilaian saya itu adalah salah sebuah album terbaik yang pernah dihasilkan mereka. Sekian.











