Polis giat jejak aset, teliti ratusan akaun GISBH

Polis giat jejak aset, teliti ratusan akaun GISBH

Reman GISBH
SERAMAI 19 lelaki dan wanita dikaitkan dengan GISBH dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman oleh polis, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti ratusan akaun bank dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) selain menjejaki aset syarikat tersebut dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini siasatan lanjut dijalankan dengan meneliti akaun-akaun bank yang didaftarkan di bawah GISBH.

Katanya, siasatan awal mendapati wang sumbangan derma yang dikutip rumah-rumah amal di bawah syarikat itu dimasukkan ke dalam akaun bank GISBH.

Ditanya sama ada hasil sumbangan turut dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemimpin tertinggi GISBH, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).itu.

“AMLA kini dalam proses meneliti dan menjejaki semua aset dan transaksi aliran wang sama ada melalui akaun syarikat mahupun individu.

“Proses menjejaki dana milik GISBH ini sedang berjalan termasuk mengesan akaun-akaun beberapa syarikat berkaitan serta akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH atau orang luar.

“Setakat ini, sebahagian besar aset-aset GISBH sudahpun disita melalui serbuan-serbuan yang dijalankan sebelum ini menerusi Fasa 1 sehingga Fasa 4, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Razarudin berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan setakat ini, pihaknya mendapati hampir keseluruhan premis berkaitan GISBH tidak beroperasi susulan serbuan besar-besaran yang dijalankan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti perniagaan GISBH semakin kurang mendapat sambutan sejak Ogos lalu apabila kegiatan mereka didedahkan oleh laman Facebook PUKAS MALAYSIA,” katanya.

Katanya, langkah polis selepas ini adalah mengumpul seberapa banyak maklumat bagi melengkapkan siasatan selain mengalu-alukan sebarang laporan daripada bekas ahli-ahli GISBH dan mangsa mereka.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan polis sedang menjejaki kutipan wang didakwa sumbangan ‘mahar’ jutaan ringgit dari setiap wakil zon kepada pemimpin GISBH.

Selain itu, sebanyak 153 akaun dibekukan PDRM yang dikaitkan dengan GISBH.

Razarudin dilapor berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 138 akaun dengan simpanan RM882,795.94 telah dibekukan manakala 15 akaun lagi ditutup.

Katanya, pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dilakukan oleh AMLA Bukit Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×