Menu Rahmah diminati tetapi semakin dilupakan

Menu Rahmah diminati tetapi semakin dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat menikmati makanan pada harga murah semakin kehilangan popularitiya kerana ramai peniaga tidak lagi menawarkan menu itu.

Sejak dilancarkan pada 31 Januari 2023, inisiatif itu mendapat sambutan hangat kerana menawarkan hidangan mampu milik pada harga RM5.

Namun, inisiatif diperkenalkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu dilihat semakin sepi.

Kebanyakan peniaga kecil telah menghentikan menu tersebut atas alasan kos bahan mentah tinggi dan mereka tidak mendapat Kad Diskaun Rahmah yang membolehkan peniaga membeli barang mentah dengan diskaun 40 peratus di pasar raya terpilih..

Restoran Mamak pula masih mengekalkan menu tersebut namun ia tidak begitu menonjol kecuali ditanya oleh pelanggannya.

Beberapa restoran makanan segera yang turut memperkenalkan Menu Rahmah sebelum ini juga telah menarik menu tersebut daripada pasaran antaranya Domino’s dan McDonald’s.

Namun McDonald’s menukarkannya dengan Mix & Match yang menawarkan beberapa pilihan makanan pada harga antara RM5 hingga RM7.

Sementara itu pemilik Mira Cake House di Kuching, Sarawak, Datin Masnah Sahani, 66, berkata, kedainya masih meneruskan menu rahmah tersebut kerana mendapat sambutan yang baik daripada para pelanggan.

“Disebabkan ekonomi sekarang yang tidak menentu, ramai pelanggan yang memilih harga yang murah dan berpatutan.

“Pelbagai menu yang saya sediakan agar pelanggan boleh memilih mengikut selera mereka,” katanya yang juga memiliki beberapa cawangan di Glenmarie, Shah Alam dan Nu Sentral, Brickfields.

Masnah berkata, kerajaan perlu membantu peniaga mengekalkan Menu Rahmah dengan memberi insentif dari segi bahan mentah ataupun diskaun yang berterusan.

Antara menu yang disediakan oleh Mira Cake House cawangan Metrocity adalah laksa Sarawak, mi kolok, linut, rojak, mi goreng apek, nasi ayam dan nasi lemak.

Sementara itu, seorang pelanggan di medan selera Seksyen 14 di sini, Ari Zulkifli, 33, berkata, Menu Rahmah sudah semakin dilupakan dan peniaga juga kurang memaparkan iklan mereka ada menu rahmah.

“Dulu banyak kedai memaparkan notis ada menjual Menu Rahmah tetapi sekarang sudah tiada lagi. Saya pun tidak bertanya kepada kedai kerana sepatutnya benda itu dipromosikan oleh para peniaga supaya pelanggan dapat membuat pilihan untuk makan di kedai mana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×