ISLAMABAD: Puluhan penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan cedera dalam pertempuran dengan polis di bandar Garrisun Rawalpindi berhampiran Islamabad, semalam.
Pertempuran tercetus selepas anggota Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipimpin oleh Imran serta penyokongnya berkumpul di Rawalpindi untuk membantah dan menuntut pembebasan segera pemimpin mereka daripada penjara.
“Kami mengadakan protes secara aman tetapi polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan anggota kami,” kata Presiden PTI Islamabad, Aamir kepada pemberita.
Beliau berkata, berpuluh-puluh anggota PTI ditahan dan ramai yang cedera akibat tindakan polis melepaskan gas pemedih mata.
Penunjuk perasaan memakai topi tiga warna dan mengibarkan bendera parti sambil melaungkan slogan ‘Hidup Imran Khan’, ‘Bebaskan Imran Khan’ dan ‘bantah pilihan raya tidak adil’.
Video di media sosial menunjukkan aktivis melemparkan batu ke arah polis rusuhan, yang kemudian bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
PTI sebelum ini mengumumkan akan mengadakan protes aman di Rawalpindi selepas kerajaan menangguh keputusan untuk memberi kebenaran mengadakan perhimpunan di Liaqat Bagh pada 28 September.
Sebelum ini, parti tersebut turut mengadakan dua perhimpunan besar-besaran di Islamabad dan Lahore pada September, bagi menuntut pembebasan segera Imran daripada penjara.
Imran, 72, kini ditahan di penjara Rawalpindi dan sedang memohon jaminan dalam beberapa kes merangkumi tuduhan rasuah hingga ke keganasan yang dinafikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri tersebut.
Bekas bintang kriket itu digulingkan melalui undi tidak percaya di Parlimen pada April 2022.– AGENSI










