SHANGHAI: Seorang wanita di China yang mempunyai dua rahim, selamat melahirkan anak kembar berbeza jantina dari kedua-dua organ peranakan itu awal bulan ini, dalam kes yang sangat jarang berlaku di dunia.
Menurut portal berita South China Morning Post, wanita yang bernama Li itu mempunyai dua rahim yang terbentuk sepenuhnya, keadaan yang dialami hanya 0.3 peratus wanita di seluruh dunia.
Lebih luar biasa, Li selamat melahirkan sepasang kembar lelaki dan perempuan di Hospital No 4 Xi’an di wilayah Shaanxi, ketika usia kandungan lapan bulan setengah.
Seorang Pakar Obstetrik Kanan di hospital tersebut, Cai Ying dipetik sebagai berkata, wanita mempunyai dua rahim yang berjaya hamil secara semulajadi sangat jarang berlaku.
“Kami hanya mendengar beberapa kes seperti ini dari dalam dan luar China. Kes ini lebih luar biasa apabila Li melahirkan bayinya selepas 37 minggu,” katanya menambah ia adalah fenomena satu dalam sejuta.
Li, yang usianya tidak didedahkan, pernah hamil sebelum ini tetapi mengalami keguguran pada 27 minggu akibat faktor yang tidak dikenal pasti.
Setelah hamil semula pada bulan Januari lalu, doktor di hospital Xi’an merangka pelan yang teliti untuk memastikan keselamatannya.
Bayi-bayi itu dilahirkan sihat secara pembedahan caesarean dengan bayi lelaki seberat 3.3 kilogram dan bayi perempuan 2.4 kilogram.
Li dan bayinya dibenarkan keluar dari hospital empat hari selepas kelahiran bayi-bayi tersebut.
Umumnya, wanita dengan dua rahim tidak mengalami gejala sehingga mereka hamil, malah semasa kehamilan, mereka berisiko tinggi mengalami keguguran, kelahiran pramatang, perkembangan janin yang tidak sempurna dan pendarahan selepas bersalin. – AGENSI











