KANGAR: Tiada sebarang gerakan menyebarkan kefahaman dan merekrut keahlian dari kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dikenalpasti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, pada masa ini, hanya dua premis GISBH dikenal pasti di Kuala Perlis yang dikesan lebih kepada berfokuskan kepada operasi perniagaan sahaja.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa merujuk Jabatan Mufti negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung sebarang pendekatan yang boleh dilaksanakan selepas ini bagi memantau gerakan GISBH.
“Di Perlis setakat ini, tiada yang ditahan dan tidak ada mana-mana pihak yang direkrut, malah ia lebih kepada entiti operasi perniagaan di Kuala Perlis sahaja ,” katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai perkembangan gerakan GISBH susulan operasi bersepadu dilaksanakan JAIPs di dua premis gerakan itu di sekitar Kuala Perlis, di sini, Sabtu lalu.
Menerusi operasi itu, JAIPs turut menemukan dan merampas sebanyak 63 barangan antaranya buku-buku berkaitan ajaran kumpulan itu yang difatwakan sesat di Perlis.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan ajaran dan kepercayaan dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya berkaitan dengan fahaman batiniah.
Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, buat masa ini, kerajaan negeri juga masih menanti keputusan siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung kumpulan GISBH tersebut.
“Sekiranya dakwaan dibangkitkan itu benar, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku.
“Kita di Perlis akan ikut seperti mana Undang-Undang Tubuh Negeri iaitu mengamalkan ajaran ahli sunnah wal jamaah supaya semua pihak dapat hidup dalam keadaan harmoni dengan mengamalkan ajaran Islam sebenar,” katanya.-UTUSAN










