NEW YORK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendesak Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, agar menggunakan pengaruhnya untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan.
Dalam pertemuan antara dua pemimpin negara tersebut ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Macron menekankan Iran bertanggungjawab untuk mengurangkan ketegangan yang semakin memuncak serta menggunakan pengaruhnya terhadap pihak yang bertindak mencetuskan ketidakstabilan, merujuk jelas kepada Hezbollah.
Sebelum ini, Macron berhubung sebanyak dua kali melalui telefon dengan Pezeshkian ketika ketegangan antara Israel dan Hezbollah meningkat.
Pada 7 Ogos lalu, Macron menyeru Pezeshkian untuk mengelakkan sebarang tindakan balas dan bekerja ke arah mencegah peningkatan ketenteraan selepas Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh dalam satu operasi yang dipercayai dijalankan oleh Israel ketika beliau berada di Teheran untuk menghadiri upacara rasmi pelantikan Pezeshkian.
Selain itu, Macron turut memberi amaran kepada Iran berhubung sokongan negara itu kepada Russia dalam konflik Ukraine, selepas negara-negara Eropah mengenakan sekatan terhadap Iran atas tuduhan membekalkan peluru berpandu kepada Moscow.
Pezeshkian menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan Iran menentang tindakan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
Meskipun Pezeshkian dilihat sebagai seorang tokoh moderat, Amerika Syarikat (AS) masih skeptikal terhadap pengaruhnya dalam sistem pemerintahan Iran yang diketuai oleh Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Selain itu, Macron juga meminta pembebasan tiga rakyat Perancis yang ditahan di Iran. -AGENSI











