BEIRUT: Seramai 27,000 orang yang dipindahkan dari selatan Lubnan kini berlindung di 252 tempat perlindungan susulan serangan udara Israel berterusan, kata Menteri Alam Sekitar Lubnan, Nasser Yassin dalam satu sidang media pada Selasa.
Nasser berkata, bilik operasi kebangsaan dan Suruhanjaya Bantuan Tertinggi telah diaktifkan untuk memastikan keperluan asas para pelarian dipenuhi selepas situasi tegang di negara itu semakin meruncing.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Abbas Halabi, mengumumkan penangguhan semua aktiviti pendidikan di seluruh negara sehingga akhir minggu ini, dengan sekolah awam dibuka untuk menerima pelarian.
Menurut Halabi, penutupan semua institusi pendidikan di wilayah selatan, Nabatieh, Bekaa, Baalbek-Hermel, dan kawasan pinggir bandar selatan akan diteruskan sehingga minggu ini berakhir.
Di samping itu, penangguhan sesi pembelajaran turut diperluas ke sekolah dan universiti di Beirut, Gunung Lubnan, dan utara negara tersebut.
Di tengah kebimbangan mengenai keselamatan makanan dan kekurangan bahan api, rakyat tempatan mula mengumpul bekalan makanan dan bahan api, menyebabkan pegawai bimbang terhadap kemungkinan kehabisan stok simpanan negara dengan cepat.
Berhubung perkara itu, Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Amin Salam menyeru orang ramai untuk lebih berhemah dalam menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas.
“Biarlah penyimpanan bekalan mencukupi untuk seminggu, dua minggu atau sebulan sahaja dan tidak lebih, bagi memastikan orang lain juga dapat memenuhi keperluan mereka di bawah situasi semasa,” kata Salam.
Sejak 8 Oktober, tahun lalu, pertempuran antara Hezbollah dan tentera Israel di sepanjang sempadan Lubnan-Israel semakin sengit.
Isnin lalu, Israel memulakan pengeboman besar-besaran ke atas Lubnan, yang paling teruk sejak tahun 2006, menyebabkan lebih 550 orang terkorban, termasuk orang awam, dan lebih 1,800 cedera di seluruh negara. -AGENSI











