Tahun Baru Cina sepi tanpa keluarga

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Perayaan Tahun Baharu Cina hari ini yang sepatutnya dirai penuh kemeriahan dan ceria, kini tidak lagi dirasai Charlie Chua, 58, penghuni Pusat Transit Gelandangan di Bulatan Pahang di sini.

Katanya, perayaan itu tidak lagi membawa sebarang makna setelah kematian ibu bapanya sejak 15 tahun lepas.

“Sejak ibu dan ayah tiada, saya ada juga meraikan bersama kakak tetapi dia tinggal berjauhan dan semua sudah berkeluarga manakala saya berseorangan tinggal di sini, tiada isteri dan anak.

“Saya memang rindu nak berjumpa dengan adik-beradik dan sambut perayaan ini bersama mereka. Namun saya jenis tidak mahu menyusahkan keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Institut Onn Ja’afar (IOJ) dengan kerjasama Pelaburan MARA Berhad di pusat transit itu.

Charles berkata, dia terpaksa melakukan dua pekerjaan sebagai pelayan restoran dan penjaga parkir bagi menampung kehidupannya.

Bagi Cheng Kin Wah, 46, kesedihannya sedikit terubat menerusi sambutan Tahun Baharu Cina di pusat transit yang dihuninya sejak empat bulan lepas.

“Sudah tiga tahun saya tidak berjumpa dengan keluarga memandangkan tidak mempunyai cukup wang untuk pulang ke kampung halaman,” ujar bekas

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata sambutan Tahun Baharu Cina itu bertujuan memberi peluang kepada golongan gelandangan dan kanak-kanak kurang bernasib baik merasai semula kemeriahan perayaan berkenaan.

Beliau berkata majlis yang dihadiri kira-kira 250 gelandangan itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Yayasan Chow Kit.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Nazim Rahman berkata, ini adalah kali pertama syarikat berkenaan berkerjasama dengan IOJ untuk meraikan golongan yang tidak bernasib baik sempena Tahun Baru Cina ini.

“Tahun Baru Cina adalah perayaann untuk disambut bersama keluarga dan rakan-rakan. Justeru, kami di Pelaburan MARA berbesar hati untuk berkerjasama mengadakan acara seperti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE