Bufet Ramadan: Jom Berbuka Citarasa Dua Sempadan

SHAH ALAM 19 Mac - Bagi anak rantau yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari sesuap nasi di ibu kota, pastinya kedatangan bulan Ramadan pada Mei nanti adalah saat-saat yang membuatkan mereka terkenangkan makanan yang dinikmati bersama keluarga sewaktu berbuka puasa.

Mereka yang pernah merasai kelazatan makanan dari selatan Thailand seperti miang-kham, somtam, mi celup (original Thailand), green curry, keng-som, tomyam (tak kira tomyam udang, ayam atau tomyam campur), pulut mangga, water chest nut (pencuci mulut) dan laksa Thai yang pernah disediakan oleh ibu masing-masing, mungkin nostalgia itu boleh dikembalikan dengan berbuka puasa di Laman Kayangan Shah Alam, Selangor.

Bertemakan Citarasa Dua Sempadan, Jom Berbuka di Bufet Ramadan turut menyajikan makanan dari utara seperti aneka cucur, keropok lekor, roti jala kari ayam likat (pasti pekat kuah karinya), tauhu bakar lentuk sambal kicap, pasembur Padang Kota, gulai ayam padang besar, ikan bakar air asam dan banyak lagi.

Menurut Pengurus Besar Operasi Segi Seri Sdn. Bhd., Hazrul Anuar Abdull Hamid, bermula pada 9 Mei sehingga 2 Jun, orang ramai boleh berbuka puasa bukan sahaja di Laman Kayangan di Seksyen 2 Shah Alam, tetapi terdapat lapan lokasi lain termasuk di Cyberjaya, Menara Alor Setar, Batu Caves, Setia City Mall (sekadar menyebut beberapa nama lokasi).

Pembelian awal RM40 dewasa seorang manakala kanak-kanak dan warga emas, RM35.

Bagi syarikat-syarikat korporat ataupun yang berkeluarga besar, kata Hazrul Anuar, Jom Berbuka Citarasa Dua Sempadan Bufet Ramadan menawarkan pakej famili.

Ikuti rakaman wawancara bersama Hazrul Anuar ketika ditemui pada majlis pelancaran Jom Berbuka, Citarasa Dua Sempadan di Bufet Famadan, Laman Kayangan, Shah Alam, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE