Warga asing beli RON95 berdepan tindakan mula 1 April

Warga asing beli RON95 berdepan tindakan mula 1 April

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula 1 April ini, tindakan penguatkuasaan terhadap larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing akan melibatkan pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan.

Berbanding sebelum ini, kesalahan pembelian dan penjualan petrol RON95 hanya dikuat kuasa kepada pengusaha stesen minyak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada bagi membanteras ketirisan subsidi bahan api.

Katanya, penguatkuasaan diperkasa melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu khususnya di kawasan sempadan.

“Penguatkuasaan ini adalah susulan keputusan yang telah dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket atau pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, bekalan barangan keperluan asas negara mencukupi, meskipun berdepan cabaran peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan susulan konflik di Asia Barat.

Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri peruncitan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.

“Orang ramai turut digesa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan bahan api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN