PERWATAKAN berbeza membuatkan Jihin Radzuan sering mencuri perhatian peminat sukan tempur, di luar gelanggang dia kelihatan seperti gadis biasa yang menyukai warna merah jambu dan kucing, namun di dalam sangkar dia adalah ‘Shadow Cat’ yang cukup digeruni lawan.
Perubahan karakter itu bukan sekadar cerita, sebaliknya menjadi identiti buat Jihin sepanjang kariernya dan gadis kelahiran Pasir Gudang, Johor ini membuktikan seorang wanita boleh kekal lembut dan feminin, namun memiliki keberanian bersaing dalam sukan tempur yang mencabar.
Keunikan itu jugalah yang menjadikan Jihin antara petarung wanita Malaysia yang paling dikenali di pentas antarabangsa, di sebalik senyumannya yang manis, tersimpan semangat juang yang tidak pernah luntur setiap kali melangkah ke dalam sangkar.
Terbaharu, Jihin kembali mencuri perhatian apabila mencatat kemenangan bergaya di pentas ONE Fight Night 40 di Stadium Lumpinee, Bangkok dengan menewaskan petarung Brazil, Gabriela Fujimoto menerusi kemenangan TKO pada pusingan ketiga, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah lawannya itu.

Kemenangan tersebut juga merupakan TKO pertama Jihin di pentas ONE Championship selain melebarkan rekod profesionalnya kepada 10 kemenangan dan lima kekalahan.
Menyingkap perjalanan karier Jihin dibentuk, dia mula mengenali sukan tempur ketika berusia 16 tahun apabila dia mencuba Muay Thai sebagai hobi, seterusnya berkecimpungan secara serius sebagai kerjaya.
“Menceburi sukan kombat tidak semestinya perlu berperwatakan umpama lelaki. Saya bermula dengan Muay Thai pada usia 16 tahun sebagai hobi. Di sekolah (Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2) saya seorang yang aktif bersukan seperti bola jaring, menari dan sebagainya.
“Namun saya mencari sesuatu yang boleh mencabar diri sendiri dan boleh memberi jaminan untuk perlindungan diri. Sukan tempur diri dan acara berpasukan sangat berbeza,” katanya.
Perjalanan menuju dunia profesional juga berlaku secara tidak dirancang ketika dia menunggu keputusan SPM dan ketika itu Jihin bekerja di gim tempat dia berlatih sebelum menerima peluang menyertai kejohanan Malaysian Invasion Mixed Martial Arts yang akhirnya membuka pintu kepada karier profesionalnya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menceburi MMA secara serius dan menjadikannya sebagai karier, lagi pun saya bukan jenis yang suka duduk lepak atau tidak bekerja. Saya perlu mencari duit poket sendiri.
“Masa itu perasaan bercampur aduk sama ada nak sambung belajar atau teruskan karier. Saya tanya jurulatih dan dia beri pandangan dan menyuruh saya membuat keputusan sendiri.
“Ibu pula beritahu dia akan sokong apa sahaja minat saya. Yang penting katanya, saya perlu bersungguh-sungguh,” jelasnya.
Gelaran ‘Shadow Cat’ yang digunakan di gelanggang juga kerana dia merupakan pencinta kucing, minat terhadap kucing itu juga menggambarkan sisi lembut Jihin yang mungkin tidak diketahui ramai peminat MMA dan ONE Championship.
“Untuk nama gelaran saya, jurulatih yang memberi gelaran itu dan ia terus melekat dengan saya,” katanya.
Menurut Jihin, kehidupannya yang agak mencabar sejak kecil turut membentuk jiwanya menjadi lebih berdikari namun di luar gelanggang dia mengakui merupakan seorang gadis yang mempunyai minat yang sangat feminin dan sangat menyukai warna merah jambu (pink).
“Perbezaan umur yang agak jauh dengan adik beradik yang lain membuatkan saya mencari haluan minat sendiri.
“Ibu bapa saya dah bercerai dan masing-masing sudah ada keluarga sendiri. Sebagai anak bongsu daripada enam adik beradik saya perlu menjaga diri sendiri, dan saya memilih Muay Thai.
“Saya suka pink! Kawan-kawan saya selalu tanya kenapa suka pink tapi main sukan lasak? Bagi saya, MMA adalah minat saya dan ia tidak semestinya perlu perwatakan lelaki kerana saya memang perempuan,” jelasnya.
Berkongsi kehidupan dan gaya hidup sebagai seorang atlet profesional, Jihin menegaskan bahawa disiplin yang tinggi diperlukan terutama dari segi pemakanan dan disiplin latihan.

“Saya perlu mengawal pemakanan saya untuk mengekalkan berat badan serta stamina. Sebenarnya saya seorang yang suka makan. Sebelum pertandingan saya terpaksa diet dan ketika itulah saya akan menyenaraikan pelbagai menu untuk dimakan selepas pertandingan,” kongsinya.
Selain mengejar kejayaan dalam karier, Jihin juga berharap dirinya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk berani mencuba sukan tempur.
“Ramai golongan wanita takut kerana ia kelihatan agak kasar. Sebenarnya tidak kerana seni pertahankan diri ada dalam pelbagai bentuk.
“Jangan takut buat keputusan untuk diri sendiri kerana apabila saya ceburi bidang ini sebenarnya bukan kemenangan yang dicari tetapi lebih utama kepuasan diri untuk mencapai prestasi lebih baik selepas berusaha keras,” jelasnya.
Bagi Jihin, seorang wanita boleh kekal dengan sifat lembut dan penyayang dalam kehidupan seharian, namun apabila tiba masanya untuk bertarung, mereka juga mampu menjadi cukup garang untuk mengejar impian sendiri.-UTUSAN










