Pesawat pejuang musnah keseluruhan, TUDM tubuh Lembaga Siasatan

Pesawat pejuang musnah keseluruhan, TUDM tubuh Lembaga Siasatan

MUHAMAD Norazlan Aris melihat keadaan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang musnah keseluruhannya akibat terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kemalangan melibatkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.

“Pihak TUDM akan terus memastikan setiap aspek keselamatan penerbangan diberi keutamaan. dan mengambil langkah sewajarnya agar insiden seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM terbabit dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Dua juruterbang terbabit disahkan selamat namun dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut.

Pesawat F/A-18D Hornet daripada No 18 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth, kini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan sebagai detasmen sementara menunggu landasan Pangkalan Udara Butterworth dinaik taraf. 

Berhubung keadaan F/A-18D Hornet terbabit, Norazlan berkata, pesawat tempur tersebut musnah secara keseluruhannya. 

“Berdasarkan video, kita tidak boleh kata punca kemalangan disebabkan oleh bird strike atau Foreign Object Debris (FOD) seperti batu masuk ke dalam enjin pesawat ketika berlepas ataupun kegagalan enjin pesawat itu sendiri. 

“Pesawat ini dilengkapi dengan sistem seperti kotak hitam dan data collector. Apabila kita dapatkan data collector itu, kita akan tengok apakah kemungkinan punca-punca kemalangan tersebut,” katanya. 

Beliau dalam pada itu berkata, TUDM bersyukur dua anak kapal terlibat dalam kejadian berjaya melakukan prosedur kecemasan dengan selamat iaitu ‘eject’ keluar daripada pesawat.

“Kini juruterbang, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, jurusensor senjata berada dalam keadaan baik dan tiada kecederaan serius. 

“Mereka sudah pun diberikan rawatan di HTAA Kuantan dan telah discaj awal pagi tadi. Kini mereka dirawat di Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Kuantan,” katanya. 

Beliau berkata, juruterbang mengalami keretakan tulang pinggul kerana hentakan di atas bitumen dan kesan kebakaran pada kaki kiri manakala jurusensor senjata hanya mengalami lebam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN