22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan SARA - PM

22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan SARA – PM

BANTUAN Penghargaan SARA sebanyak RM100 akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Portal Rasmi SARA, https://sara.gov.my mulai hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember depan.

Katanya, setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.

“Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan Madani, yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa.

“Ia untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memastikan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya secara saksama, baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan Madani yang akan diputuskan kelak.

Katanya, penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan

“Sebagai contoh, pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO, tempat ibadat dan sebagainya.

“Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ttada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk
Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan
bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.

“Bantuan Penghargaan SARA ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori. Ini termasuk makanan asas seperti beras
dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri,” katanya.

Dengan pelaksanaan program Penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA telah meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, 50 peratus lebih tinggi daripada RM10 bilion pada tahun 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN