Speedy Tigress akhiri Piala Negara-Negara 2 di tempat ketujuh

Speedy Tigress akhiri Piala Negara-Negara 2 di tempat ketujuh

MALAYSIA menduduki tempat ketujuh dalam kempen Piala Negara-Negara 2 yang berlangsung di Walcz, Poland- IHSAN FIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim memuji pemainnya apabila mengakhiri kemarau kemenangan dalam kempen Piala Negara-Negara 2 menewaskan Afrika Selatan 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas seri 1-1 di Walcz, Poland, semalam.

Itu merupakan kemenangan pertama Speedy Tigress membolehkan mereka menamatkan kejohanan di tempat ketujuh manakala Perancis muncul juara selepas menewaskan Uruguay 3-1 menerusi penalti shoot-out setelah seri 3-3 dan Wales di tempat ketiga.

“Alhamdulillah, hari ini (kelmarin) kita dapat kemenangan pertama. Sebenarnya pemain ini mempunyai kebolehan untuk mencabar pasukan lain. Namun begitu, kita masih belum berada di tahap yang sepatutnya.

“Kejohanan ini kita dapat banyak pengalaman beraksi menentang pasukan yang lebih baik. Jadi, tekanannya itu ada dan itu yang membuatkan pasukan matang,” katanya.

Nasihin berkata, selepas tewas 5-0 kepada Itali dalam aki klasifikasi lima hingga lapan, Sabtu lalu, pemainnya kembali lebih kuat menentang Afrika Selatan setelah menyedari kelemahan mereka secara individu. 

“Mereka kembali dengan lebih kuat dan tunjukkan disiplin daripada segi teknikal dan taktikal menentang Afrika Selatan.

“Namun, kesilapan kecil dalam empat minit terakhir membuatkan lawan menjaringkan gol dan kita kena belajar daripada situ. Pemain kita kekal tenang sewaktu penalti shoot-out,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN