PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pengurangan 10 peratus pekerja Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kebanyakannya melibatkan pekerja kontrak.
Perdana Menteri memberi reaksi ringkas itu ketika ditanya mengenai langkah penstrukturan semula syarikat minyak negara itu dengan menjangkakan kira-kira lebih 5,000 pekerja akan terbabit atau kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kakitangan.
“Iya, banyak pekerja kontrak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, di Desa Pinggiran Putra, dekat sini, hari ini.
Semalam, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memaklumkan, jumlah pemberhentian pekerja itu jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat antarabangsa yang telah melakukan pemberhentian pekerja secara besar-besaran ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas di peringkat global.
Beliau berkata, ketika ini terdapat lebihan tenaga kerja dalam beberapa peringkat dan ia tidak setanding dengan apa yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa.
Tengku Muhammad Taufik berkata, rasional untuk penstrukturan ini adalah untuk mengubah semula cara Petronas beroperasi supaya mampu bertahan dan seperti syarikat antarabangsa.
Beliau menegaskan, kakitangan peringkat tinggi akan diberhentikan termasuk pekerja kontrak manakala pekerja baharu tidak terbabit.
Petronas antara banyak syarikat minyak dunia telah mengumumkan pengurangan pekerja terutama disebabkan kejatuhan harga minyak dan persaingan sengit di peringkat global.
Jelasnya, keseluruhan industri minyak dan gas pada masa kini adalah tidak berapa baik.
Beliau berkata, Petronas tidak boleh lagi beroperasi dalam suasana yang sama kerana keadaan sudah berubah dengan drastik.
Katanya, Petronas dalam bidang tertentu mempunyai terlalu ramai kakitangan dan tidak lagi kompetitif jika dibandingkan syarikat minyak antarabangsa lain dan pihaknya sedang melihat jangka masa 10 tahun yang akan menentukan masa depan Petronas. – UTUSAN