KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia ke dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) nanti diyakini memberi kekuatan baharu memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu mencecah AS$26.6 trilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu bersamaan 26.2 peratus daripada KDNK dunia sekali gus membuka ‘jalur’ baharu yang memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi di Malaysia.
“Malaysia adalah negara perdagangan dan perdagangan itu harus membina rangkaian supaya kita dapat membantu rakyat dan negara dari sudut pelaburan dan perdagangan.
“Maka, selain hubungan kerjasama dilakukan sekarang yang menampakkan hasil, ada kebijaksanaan untuk kita membuka ruang baharu terutama dalam konteks agenda selatan global kerana ini telah menunjukkan kesediaan negara untuk bangkit mempertahan kepentingan kawasan yang tidak hanya terikat kepada satu kekuatan ekonomi.
“Sebab itu, BRICS telah menunjukkan kesediaan negara-negaranya dan beberapa negara baharu yang bersama dan kita negara ASEAN juga menunjukkan minat. Malaysia juga menjurus ke arah yang sama,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan perdana menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat Malaysia menyertai BRICS dan bagaimana penyertaan itu akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara-negara BRICS.
Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Terdahulu, ketika wawancara bersama bersama syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China iaitu Guancha, Anwar berkata, Malaysia memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS dan kini menunggu maklum balas.
BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Blok itu ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.
Pun begitu, di sebalik manfaat dan peluang yang dibingkaikan kerajaan selepas Malaysia memohon menyertai BRICS, wujud pandangan berbeza berhubung implikasi jika Malaysia secara rasmi menganggotainya.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia pada 30 Jun lalu, ahli akademik dan penganalisis ekonomi bimbang jika Amerika Syarikat (AS) akan bertindak balas sehingga menarik keluar pelaburan dari Malaysia, hanya disebabkan AS seteru kepada Rusia dan China. – UTUSAN










