Atlet Olimpik perlu jauhi media sosial

Atlet Olimpik perlu jauhi media sosial

MEDIA sosial menjadi pengaruh yang amat kuat hingga berjaya mengawal fikiran-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet Malaysia yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dinasihatkan agar melupakan buat seketika ‘kehidupan’ mereka di media sosial.

Ini bagi memastikan semua atlet dapat memberi tumpuan penuh kepada persiapan dan juga aksi mereka di Paris agar membuahkan hasil yang baik.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. pekan Ramli berkata, inisiatif itu perlu ada dalam diri atlet sendiri tanpa sebarang paksaan kerana mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

“Biar atlet tutup sendiri akaun media sosial mereka untuk seketika menjelang Sukan Olimpik Paris 2024. Kalau boleh buat itu suatu perkara yang baik.

“Kita khuatir mereka menerima tekanan menerusi ruang komen yang diberikan oleh netizen. Gangguan daripada media sosial perlu diberi perhatian.

“Apa-apa pun terpulang kepada atlet untuk melakukannya, rakyat Malaysia pastinya mahukan yang terbaik daripada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, olimpian negara, Josiah Ng yang pernah beraksi di tiga edisi Olimpik pada 2004 hingga 2012 berkata, akaun media sosial perlu dielakkan bagi mengelak tekanan.

“Ada atlet yang sukakan tekanan kerana tekanan menjadikannya lebih baik contohnya Datuk Azizulhasni Awang. Lagi pun dia sudah beraksi di Sukan Olimpik sebelum media sosial popular.

“Bagaimanapun, untuk atlet muda saya tidak pasti. Jika saya menjadi mereka dan tahu ini tidak bagus saya akan tutup media sosial supaya tidak diganggu.

“Berikan fokus yang terbaik kerana anda ada misi yang perlu diselesaikan dan tidak perlu memuat naik apa-apa sehingga selesai Sukan Olimpik,” katanya.

Berdasarkan rekod, pemain badminton perseorangan wanita negara, S. Kisona pernah menerima komen berbaur perkauman di media sosial ketika dia beraksi di Piala Sudirman pada 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN