Piala Malaysia: JDT buktikan 'raja' bola sepak Malaysia

Piala Malaysia: JDT buktikan ‘raja’ bola sepak Malaysia

KAPTEN JDT, Jordi Amat menjulang Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1 di pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas yang tersendiri apabila buat dua tahun berturut-turut berjaya menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Sebentar tadi, kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu melengkapkan piala keempat mereka musim ini apabila menumpaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023.

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super (biarpun berbaki dua perlawanan), sekali gus membuktikan mereka sukar digugat mana-mana pasukan di peringkat domestik.

Kejayaan menjulang Piala Malaysia itu juga membolehkan JDT menjadi pasukan pertama di Malaysia melakar sejarah baharu selaku pasukan yang mencatatkan ‘double quadruple’ dalam dua musim berturut-turut.

Sebagai rekod, JDT berjaya meraih gelaran quadruple pada tahun lalu selepas mendominasi Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super selain Piala Malaysia dan kini berada di landasan terbaik untuk melebarkan rekod tersebut.

Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu, anak-anak buah Estaban Solari berjaya mengimbangi cabaran Terengganu FC, biarpun skuad Sang Penyu cuba memberi saingan pada peringkat awal permainan.

Dalam pertembungan itu, JDT terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Bergson Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit keenam selepas Fernando Forestieri dijatuhkan oleh Azam Azmi Murad di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan awal JDT itu, Terengganu mula memperkemaskan rentak permainan dan mula melancarkan serangan balas ke pintu gol JDT yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pada minit ke-21, giliran Terengganu pula dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, S. Logeswaran selepas Ivan Mamut dijatuhkan oleh kapten JDT, Jordi Amat di dalam kotak penalti.

Mamut yang diamanahkan mengambil sepakan itu merembat deras ke sebelah kiri gol, sekali gus menumpaskan Ahmad Syihan Hazmi yang juga merupakan penjaga gol Harimau Malaya.

Kedudukan kembali seimbang 1-1 dan situasi itu menyebabkan skuad Harimau Selatan mula melancarkan gerakan demi gerakan untuk meletakkan mereka kembali dihadapan.

Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-43 menerusi Heberty Fernandes, namun penyerang import dari Brazil itu merembat tinggi biarpun mendapat umpanan cukup cantik daripada Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak berhati-hati mengatur pergerakan, namun JDT lebih beruntung selepas pemain gantian, Feroz Baharudin berjaya meletakkan Harimau Selatan didepan 2-1 menerusi tandukan pada minti ke-73.

Gol itu mencetuskan semangat JDT untuk terus memburu gol dan mereka mendapat gol ketiga pada masa tambahan separuh masa kedua menerusi Arif Aiman yang menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Shahrul Nizam Ros Hasni.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya