PUTRAJAYA: Selepas merekodkan dua kali kes positif mencecah lebih 13,000, jumlah kes harian jangkitan wabak Covid-19 semakin meningkat dengan kali ini mencecah 15,573 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 144 kematian dicatatkan dengan 939 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 456 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 147,386 kes aktif.
Pakar-pakar perubatan tidak menolak kemungkinan angka sebenar kes jangkitan harian adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding dilaporkan dan boleh mencecah sehingga 30,000 kes sehari.
Perkara itu dinilai dengan menggandakan faktor kadar kebolehjangkitan (R-Naught) selain angka kematian mencerminkan angka sebenar kes jangkitan positif di luar.
Menurut pakar, kebanyakan kes adalah dari komuniti yang lebih 80 peratusnya tidak mempunyai sebarang tanda-tanda wabak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pula berkata, gelombang ketiga kes wabak itu di negara ini didapati meningkat susulan pertambahan penularan varian membimbangkan (VoC) sejak awal tahun ini dengan tiga sudah dikesan.
Katanya, jangkitan VoC tidak pernah didokumentasi pada tahun lalu, namun mulai Januari lepas, semua varian mutasi dari luar negara itu direkodkan mendominasi kes tempatan Covid-19.
Justeru, Adham berkata, kajian konsortium ditubuhkan kerajaan bagi menjalankan usaha penjujukan semua genom sindrom pernafasan akut teruk virus korona kedua (SARS-CoV-2) dengan mengkaji 3,000 sampel dalam masa tiga bulan bermula bulan depan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan kerajaan menilai kadar kebolehjangkitan, kes kematian, tahap kerintangan dan risiko dijangkiti pasca-imunisasi.
“VoC lebih menguasai individu yang belum dapat vaksin malah setakat semalam, 392 VoC sudah dikesan meliputi 205 varian Beta, 173 varian Delta dan 14 varian Alpha,” jelasnya dalam sidang akhbar semalam.
Situasi itu ujarnya, amat membimbangkan kerana varian ini ada tahap kadar kemudaratan tinggi dengan varian Delta misalnya, bilangan virus mencecah 1,000 kali ganda lebih banyak.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 119 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dikesan menerusi kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Ia dikesan bermula 12 hingga 22 Julai melibatkan negeri Sarawak (76 kes), Selangor (14 kes), Pahang (lapan kes), Johor (enam kes), Perak (empat kes), Kedah dan Kuala Lumpur (masing-masing tiga kes), Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (masing-masing dua kes) dan Kelantan (satu kes).
“Kesemua kes tersebut adalah VOC melibatkan 106 kes varian Delta (India) (sublineage B.1.617.2), 10 kes varian Beta (Afrika Selatan) (B.1.351) serta tiga kes varian Alpha (United Kingdom) (B.1.1.7) sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 429 kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE










