BATU PAHAT: Dua wanita rentung selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang berusia 22 tahun itu dikenal pasti sebagai Siti Nur Batrisya Mohd. Khalid dan Siti Nurmaisarah Abd. Jalil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 4.21 petang.
Susulan itu katanya, seramai 16 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Perodua Myvi terbakar akibat kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan itu dengan sebuah lori.
“Terdapat dua mangsa tersepit di dalamnya. Anggota bertindak memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shamin, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori yang berusia 30-an selamat.-UTUSAN











