JOHOR BAHRU: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim mengetuai perarakan sempena Majlis Sambutan dan Perarakan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Daerah Johor Bahru yang berlangsung di Masjid Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.
Perarakan yang disertai kira-kira 2,000 peserta itu membabitkan 45 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain murid serta pelajar sekolah agama di sekitar daerah ini.
Peserta berarak sejauh satu kilometer dalam suasana meriah sambil menghayati semangat kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad, sekali gus menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat setempat.
Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Johor diadakan di Batu Pahat, dengan pelbagai pengisian bagi menyemarakkan lagi sambutan bersempena bulan kelahiran Nabi Muhammad.-UTUSAN











