Qaisya tebus kekecewaan, raih emas compound

Qaisya tebus kekecewaan, raih emas compound

Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Berbekalkan semangat juang tinggi dan tidak mudah berputus asa, atlet memanah wanita Perak, Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian akhirnya berjaya menamatkan saingan dengan pingat emas acara compound 50 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, hari ini.

Atlet berusia 15 tahun itu berdepan tentangan sengit daripada pemanah Sabah, Catherine Looi Mei Qi Abdullah sebelum melakar kemenangan tipis 143-142 sekali gus menebus kekecewaannya yang tewas kepada lawan sama pada pusingan kelayakan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Qaisya mengakui kejayaan itu bukan atas dasar membalas dendam, sebaliknya hasil usahanya untuk memberikan persembahan terbaik dalam saingan tersebut.

“Tak adalah sangat (untuk balas dendam). Saya cuma cuba buat yang terbaik.

“Tapi bila diumumkan sebagai pemenang saya rasa lega sebab lawan saya juga kuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam saingan penentuan pingat gangsa wanita, Wee Yee Qi dari Sarawak berjaya menewaskan wakil Selangor, Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz dengan keputusan 145-140.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, pingat emas menjadi milik wakil Terengganu, Muhammad Akmal Danial Baharuddin selepas menewaskan pemanah Pulau Pinang, Lee Meng Zhe dengan keputusan 147-144.

Pingat gangsa pula diraih seorang lagi wakil Terengganu, Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki, yang menundukkan R. Mevnesh dari Pulau Pinang dengan keputusan 146-140. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN