KATHMANDU: Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa di lembah dan lereng bukit Himalaya semalam selepas banjir besar mengorbankan sekurang-kurangnya 359 orang, manakala hampir 1,000 lagi dilaporkan masih hilang.
Nepal dan China turut memberi amaran mengenai kemungkinan banjir susulan berikutan peningkatan paras air di dua tasik.
Menurut pihak berkuasa kedua-dua negara, runtuhan glasier pada pagi Rabu mencetuskan aliran deras batu, ais, lumpur dan serpihan yang melanda sistem sungai di kawasan pergunungan Himalaya.
Banjir berkenaan menghanyutkan kampung serta memusnahkan infrastruktur penting di sepanjang laluan yang menjadi tumpuan pendaki dan jemaah, menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa di Tibet.
Daripada hampir 1,000 individu yang masih hilang, sekurang-kurangnya 540 adalah warga asing.
Pihak berkuasa Nepal mengerahkan helikopter untuk mencari mangsa yang terselamat dan menghantar bekalan kecemasan kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan di pekan serta lembah.
Pasukan penyelamat turut menemukan puluhan mayat yang dihanyutkan arus banjir ke kawasan tanah rendah.
Jumlah air dan timbunan serpihan yang besar itu kini mencetuskan risiko bencana susulan. Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal memberi amaran bahawa sebuah tasik yang terbentuk akibat timbunan serpihan menyekat aliran Sungai Bhotekoshi di lokasi banjir semakin meningkat paras airnya dan berisiko pecah.
Di seberang sempadan, China berkata kira-kira tiga juta meter padu air, bersamaan sekitar 1,200 kolam renang bersaiz Olimpik, dijangka mengalir ke sebuah tasik yang sudah dihalang alirannya oleh empangan dalam tempoh tiga hari akan datang.
Media kerajaan China melaporkan, memetik Kementerian Sumber Air, terdapat risiko tinggi tasik itu melimpah dengan aliran air dijangka mencapai kemuncak sekitar 1 September.
“Jumlah air terus meningkat, begitu juga risikonya,” kata penyelidik Jabatan Hidrologi kementerian itu, Zhu Jinfeng, kepada penyiar negara CCTV.











