Jangan guna filem, seni untuk propaganda murah - Utusan Malaysia

Jangan guna filem, seni untuk propaganda murah

ANWAR Ibrahim (tengah) beramah mesra bersama ahli kelab media Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai (II) ketika Majlis Perasmian Menara Finas di Damansara Damai, Selangor baru-baru ini. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filem, seni dan sastera tidak patut dijadikan alat propaganda kerana industri kreatif memerlukan ruang untuk berkembang secara kreatif dan kritis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri seni dan penggiat budaya bukanlah alat propaganda yang boleh dilihat murah serta remeh.

Katanya, Malaysia juga perlu menerima perubahan teknologi termasuk animasi, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) tetapi pada masa sama memastikan industri kreatif terus berakar pada bahasa, budaya, jati diri dan identiti negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ruang keterbukaan perlu diberikan kepada penggiat seni dan pembuat filem di negara ini supaya bidang tersebut terus berkembang dan kekal relevan,

“Saya tidak mahu digambarkan liberal. Tetapi terus terang saya katakan, sekiranya mahu negara maju, tentu kita harus terima kenyataan anak muda dan khalayak mahu bebas dan terbuka.

“Namun, itu tidak bermakna kita nak terima acuan barat dan acuan timur pula tidak bermakna mengikut acuan neokonservatif. Kalau industri ini terus tertutup, saya bimbang industri seni negara akan tertutup,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini semalam.

Anwar berkata, industri filem perlu terus berkembang dengan mengangkat budaya Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri.

“Sebab itu kita tambah ruang untuk teater, sastera dan seni kerana bidang-bidang ini memberikan corak yang berbeza kepada negara. Tidak ramai yang menonton filem tempatan atau mengikuti perkembangan industri seperti sehebat zaman dahulu.

“Tetapi satu perkara yang tidak boleh kita mungkiri ialah tanggungjawab untuk memastikan bukan sahaja industri ini berjaya, malah penggerak, pelakon, penggiat seni dan seluruh jentera yang menghasilkan karya turut diberikan perhatian.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penggiat seni yang telah menjayakan perkemba­ngan bidang ini dan melonjakkan industri ke tahap yang lebih tinggi. Ini kerana karya seni turut mempamerkan sikap, nilai dan budaya sesebuah negara,” jelasnya.

Anwar ketika mengimbas kembali pengalamannya mengajak cucu menonton filem Melayu berkata, generasi muda hari ini semakin kurang berminat terhadap karya tempatan.

Menurut Anwar lagi, keadaan itu berbeza dengan generasinya yang membesar dengan filem Melayu termasuk karya terbitan Shaw Brothers.

“Sejujurnya mereka agak keberatan dan tidak begitu teruja kerana menganggap datuk mereka sudah tua. Namun, ternyata usaha itu berjaya. Salah seorang daripada cucu saya berkata, ini merupakan salah satu filem terbaik pernah dia tonton,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini