TEL AVIV: Eksport senjata Israel pada 2025 jauh lebih tinggi berbanding jumlah penduduknya, dengan nilai per kapita kira-kira enam kali ganda berbanding Amerika Syarikat (AS) dan 19 kali ganda berbanding Russia, menurut satu kajian terbaharu.
Kajian oleh penulis Palestin-Amerika, Susan Abulhawa, mendapati Israel mengeksport senjata bernilai kira-kira AS$263 (RM1,059) bagi setiap penduduk pada tahun lalu, berbanding AS$41 (RM165) bagi setiap penduduk Amerika Syarikat dan AS$14 (RM56) di Russia.
Jika jumlah penduduk Yahudi Israel sahaja diambil kira, nilai itu meningkat kepada AS$340 (RM1,369) seorang, iaitu kira-kira lapan kali ganda berbanding AS dan 25 kali ganda berbanding Russia.
Kajian itu sebahagian besarnya berdasarkan data Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menerusi pangkalan data pemindahan senjata yang merekodkan pemindahan senjata konvensional utama.
Walaupun AS kekal sebagai pengeksport senjata terbesar dunia dari segi jumlah keseluruhan, kedudukan itu berubah apabila eksport dikira berdasarkan jumlah penduduk.
Israel menduduki tempat ketujuh bagi jumlah eksport senjata antara 2020 hingga 2025, selepas AS, Perancis, Russia, Jerman, China dan Itali.
Namun, berdasarkan eksport per kapita, Israel jauh mengatasi semua negara utama pengeksport senjata.
Eksport senjata Israel per kapita kira-kira 2.5 kali ganda berbanding Norway, yang berada di tempat kedua, dan lebih tiga kali ganda berbanding AS.
Kajian itu mendapati kedudukan Israel bukan disebabkan pencapaian luar biasa pada satu tahun tertentu.
Sebaliknya, Israel merupakan pengeksport senjata terbesar dunia per kapita atau berada dalam kelompok teratas hampir setiap tahun sepanjang 25 tahun lalu.
Sepanjang tempoh 1960 hingga 2025 yang direkodkan dalam pangkalan data itu, Israel turut mencatat purata eksport senjata per kapita tertinggi berbanding mana-mana negara, iaitu bersamaan AS$56 (RM225) bagi setiap penduduk setahun sepanjang tempoh 65 tahun.
Kajian itu mendapati kelebihan Israel berbanding negara pengeksport senjata lain semakin ketara, khususnya dalam tempoh sedekad lalu.
Abulhawa turut membandingkan nilai eksport senjata dengan saiz ekonomi sesebuah negara bagi menunjukkan sejauh mana perdagangan senjata menjadi sebahagian daripada ekonomi Israel.
Berdasarkan data SIPRI, eksport senjata Israel menyumbang kira-kira 0.25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, lebih tiga kali ganda berbanding Perancis dan lebih enam kali ganda berbanding AS.
Bagaimanapun, SIPRI tidak mengambil kira sebahagian besar perdagangan Israel yang menguntungkan dalam bidang dron, peluru, senjata kecil, teknologi siber, peralatan pengawasan, perkhidmatan dan latihan.
Berdasarkan angka lebih luas kerajaan sendiri mengenai kontrak pertahanan, Israel merekodkan AS$13 bilion (RM52 bilion) perjanjian eksport senjata pada 2023, bersamaan kira-kira 2.5 peratus daripada KDNK negara itu.
Menurut kajian itu, secara perbandingan, saiz ekonomi eksport senjata Israel adalah kira-kira 8.5 kali lebih besar berbanding AS dan hampir sembilan kali ganda berbanding Perancis.
Angka berkenaan menunjukkan walaupun kuasa besar memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada perdagangan senjata dari segi jumlah keseluruhan, tiada negara setanding yang bergantung kepada eksport senjata pada skala sebesar Israel jika dibandingkan dengan saiz penduduk dan ekonominya.- AGENSI











