JOHOR BAHRU: Taktik tiga premis yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan menjual jersi tiruan sempena musim kejohanan Piala Dunia 2026 membawa padah apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan berasingan di daerah ini dan Kota Tinggi menyaksikan pihaknya menyita 2,669 helai jersi bernilai RM135,000.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan hasil risikan dan aduan orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan di premis-premis terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menawarkan pelbagai jenis jersi pasukan bola sepak yang memaparkan cap dagangan jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik berdaftar.
“Pengesahan awal oleh wakil pengadu mendapati terdapat alasan munasabah bagi kes itu disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, rampasan dibuat mengikut seksyen berkenaan yang memperuntukkan kesalahan melibatkan pemilikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan barangan yang cap dagangannya dipakaikan dengan salah.
“KPDN Johor turut menahan tiga individu tempatan yang merupakan pemilik dan penjaga premis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN









