JOHOR BAHRU: Tiga lelaki tempatan didenda RM700 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dakwaan terlibat dalam pergaduhan di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, Isnin lalu.
Manakala hukuman terhadap dua lagi remaja bawah umur yang terlibat dalam kejadian itu akan ditetapkan pada 1 September depan selepas serahan laporan akhlak pesalah muda yang berusia 15 dan 17 tahun.
Tertuduh, Abdullah Tenis Munisamy, 38; Keevaan Jay Arkesh Rajendran, 28; Muhammad Nafiz, 19, dan dua lagi remaja masing-masing berusia 15 dan 17 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan niat bergaduh di sebuah restoran di Taman Daya di sini, kira-kira pukul 5.40 pagi, 20 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Isnin lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad mengesahkan pihaknya menahan 12 lelaki berusia antara 15 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan ketika perlawanan akhir Piala Dunia 2026 melibatkan pasukan Sepanyol dan Argentina di sebuah restoran di Taman Daya, di sini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan beberapa individu terlibat dalam pergaduhan termasuk membaling kerusi di sebuah restoran.-UTUSAN










