PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat berputih mata apabila syarikatnya mengalami kerugian RM79,300 selepas terpedaya dengan tawaran pembelian khemah dan genset yang menggunakan nama sebuah agensi kerajaan, bulan lalu.
Sumber berkata, seorang pekerja syarikat berkenaan menerima surat tawaran yang mendakwa pihak dikenali sebagai agensi terbabit berminat untuk membeli 20 unit khemah pada 25 Jun lalu.
Menurutnya, pihak syarikat juga dimaklumkan yang pihak agensi terbabit mahu membeli empat unit genset dan dua unit stesen janakuasa mudah alih yang keseluruhan bernilai RM79,300.
“Syarikat itu kemudian menghubungi sebuah syarikat yang didakwa kenalan agensi berkenaan namun pihak berkenaan memaklumkan tidak mempunyai bekalan itu dan memperkenalkan mereka kepada pihak ketiga yang menjual genset berkenaan.
“Pihak ketiga itu kemudian menawarkan harga jualan dan meminta pembayaran dibuat. Syarikat berkenaan membuat dua transaksi pembayaran masing-masing bernilai RM24,300 dan RM55,000 ke dua akaun syarikat berbeza,” katanya di sini.
Katanya, pembayaran penuh sudah dibuat pada 15 dan 16 Julai lalu dengan pihak berkenaan menjanjikan penghantaran semua barang itu terus ke lokasi agensi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan cuba menghubungi agensi berkenaan untuk urusan seterusnya pada 16 Julai lalu namun tiada maklum balas diterima sehingga kini dan dua syarikat yang di berurusan sebelum ini juga tidak memberi maklum balas.
Pihak syarikat berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan difahamkan pihak tidak bertanggungjawab terbabit menggunakan nama agensi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.
“Kes masih dalam siasatan lanjut pihak kami,” jelasnya. – UTUSAN










