Shahmalarani pertahan emas SEAKF 2026

Shahmalarani pertahan emas SEAKF 2026

C.Shahmalarani berjaya pertahankan pingat emas acara kumite wanita bawah 50 kg di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) 2026 di Hanoi, Vietnam-IHSAN AKF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh karate negara, C. Shahmalarani membuktikan dirinya masih antara sandaran utama Malaysia apabila mempertahankan pingat emas Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) 2026 di Hanoi, Vietnam, sekali gus menyuntik keyakinan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya September ini.

Kejayaan dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) itu menyaksikan atlet berusia 27 tahun berkenaan muncul sebagai satu-satunya penyumbang pingat emas kategori senior buat kontinjen negara pada kejohanan yang berakhir Isnin lalu.

Juara Sukan SEA tiga kali itu menewaskan wakil tuan rumah, Pham Thi Dao, 2-1 pada aksi final selepas terlebih dahulu menyingkirkan Nguyen Phuong Thao 5-2 pada pusingan pembukaan dan membelasah Sobrepena Hanabelle dari Filipina 9-1 di separuh akhir.

Selain kejayaan individu, Shahmalarani turut membantu skuad kumite wanita negara meraih pingat perak selepas tewas tipis 1-2 kepada Vietnam pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, kem negara dikecewakan kegagalan juara bertahan Sukan SEA, K. Thevendran, mempertahankan gelaran bawah 55kg lelaki apabila tewas 3-5 kepada wakil Vietnam, Do Duy Khanh, di separuh akhir sebelum kecundang 0-6 kepada Ingloy Natthakrit dari Thailand dalam aksi repechage gangsa.

Turut menyumbang pingat perak ialah Mohd Haznil Henry dalam acara kata individu senior lelaki selepas tewas 2-3 kepada Edbert Setiabudi Christopher dari Indonesia, manakala Zakiah Adnan muncul naib juara kumite wanita bawah 61kg selepas tunduk 0-8 kepada Hoang Thi My Tam dari Vietnam.

Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan SEAKF 2026 dengan kutipan enam pingat emas, enam perak dan 18 gangsa merangkumi kategori kadet, junior dan senior, sekali gus memberi petanda positif menjelang beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN