Sembilan maut, 15 terperangkap terowong runtuh di India

Sembilan maut, 15 terperangkap terowong runtuh di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya sembilan maut manakala 15 lagi masih terperangkap selepas sebuah terowong runtuh di tapak pembinaan projek hidroelektrik di timur laut India, menurut pihak berkuasa hari ini.

Kejadian berlaku pada Isnin di negeri Sikkim di kawasan Himalaya ketika pekerja sedang membina terowong bagi projek hidroelektrik milik kerajaan di Sungai Teesta.

Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Sikkim, Rajiv Roka, berkata pihaknya menganggarkan antara 25 hingga 27 pekerja terperangkap dalam kejadian itu.

“Setakat ini, sembilan mayat ditemukan,” katanya kepada AFP.

Menurut beliau, runtuhan itu dipercayai berpunca daripada satu letupan, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Wilayah berkenaan turut dilanda hujan monsun lebat sejak beberapa hari lalu.

“Kami masih belum pasti punca letupan itu kerana ia berlaku jauh di dalam terowong, namun besar kemungkinan ia berpunca daripada faktor semula jadi,” katanya.

Kebocoran gas metana beracun dari formasi batuan bawah tanah turut menyukarkan operasi menyelamat, menyebabkan hanya pasukan yang dilengkapi peralatan oksigen dibenarkan memasuki terowong.

“Operasi menyelamat sedang dijalankan secara agresif, tetapi kehadiran gas dalam jumlah yang banyak menjadi cabaran utama,” katanya.

Beliau berkata, satu pasukan khas yang mempunyai kepakaran dalam operasi menyelamat kemalangan lombong turut diterbangkan ke lokasi bagi membantu usaha mencari dan menyelamat.

Kemalangan di tapak pembinaan projek infrastruktur berskala besar sering berlaku di India. Pakar alam sekitar bagaimanapun berpendapat pembangunan yang semakin pesat di kawasan Himalaya yang rapuh telah meningkatkan risiko berlakunya bencana.

Pada 2023, seramai 41 pekerja berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 17 hari akibat runtuhan sebuah terowong jalan raya di kawasan Himalaya, negeri Uttarakhand, utara India.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN