JOHOR BAHRU: Seorang remaja yang keciciran sekolah sejak Januari tahun lalu ditahan polis Sabtu lalu selepas didapati bekerja sebagai seorang ‘transporter’ bagi sebuah sindiket dadah yang telah aktif beroperasi sejak Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan serbuan di sekitar bandar raya ini yang menyaksikan lapan lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan.
Katanya, serbuan dijalankan melibatkan beberapa lokasi termasuk di pekarangan sebuah hotel dan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Bezza, dengan rampasan dadah bernilai RM3.04 juta.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada individu lelaki berusia 16 hingga 73 tahun. Remaja yang berusia 16 tahun telah berhenti sekolah sejak Januari tahun lalu, dan dipercayai bergiat aktif dengan sindiket itu sebagai penghantar dadah.
“Dia akan mengambil dadah daripada satu lokasi lain sebelum dihantar ke tempat lain berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, remaja berkenaan turut ditahan bersama kenderaan jenis Perodua Bezza milik datuknya yang dijadikan stor simpanan dadah seberat 60.78 kilogram.
“Selain remaja itu, turut ditahan termasuklah dalang utama yang berusia 50-an, serta beberapa orang kanannya dan juga”transporter’ lain. Jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 303,900 orang penagih.
“Pemeriksaan urin mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala empat pula mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.
Ab. Rahaman turut memberitahu, selain dadah, pihaknya turut menyita sebuah Toyota Camry, sebuah Proton Saga dan juga pelbagai jenis barangan kemas bernilai keseluruhan RM100,162.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sejak 19 Julai hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN










