TEHERAN: Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pada Khamis menggesa rakyat negara itu hadir beramai-ramai ke upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi,Ayatollah Ali Khamenei, sebagai tanda membalas dendam atas kematian beliau dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada permulaan perang.
“Saya mengajak seluruh rakyat Iran untuk mencatat satu lembaran gemilang dalam sejarah Iran Islam melalui kehadiran anda” pada upacara pengebumian yang bermula Sabtu ini,” kata Ghalibaf, yang juga Yang Dipertua Parlimen Iran.
“Seruan negara untuk membalas dendam mesti bergema ke seluruh dunia,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Upacara pengebumian Khamenei, yang sebelum ini ditangguhkan ketika kemuncak perang di Asia Barat, akan berlangsung ketika Iran dan AS sedang mematuhi gencatan senjata yang masih rapuh selepas memeterai perjanjian awal bagi menghentikan konflik.
Khamenei, yang menjadi tokoh kerohanian bagi ramai penganut Syiah, terbunuh pada usia 86 tahun di kediamannya di tengah ibu negara Iran pada 28 Februari, hari pertama perang.
Upacara penghormatan terakhir kepada beliau akan bermula pada Sabtu dengan jenazahnya ditempatkan untuk penghormatan umum di Kompleks Grand Mosalla yang terletak di tengah Teheran, lokasi yang sering digunakan untuk solat Jumaat, majlis rasmi dan perhimpunan keagamaan.
Menurut pihak berkuasa, antara 15 juta hingga 20 juta orang dijangka menghadiri upacara itu, sekali gus menjadikannya pengebumian rasmi terbesar dalam sejarah negara tersebut. – AFP










